Tiada niat jahat di sebalik tutup patung tokoh Tamil, kata menteri besar

Tiada niat jahat di sebalik tutup patung tokoh Tamil, kata menteri besar

Mohamad Hasan berkata patung itu ditutup atas alasan untuk menghormatinya.

hassan
GEORGE TOWN:
Tidak ada niat jahat di sebalik patung tokoh falsafah Tamil ditutup di sebuah sekolah Tamil di Seremban, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini.

Ini berikutan kekecohan oleh beberapa pemimpin pembangkang yang mendakwa pejabat menteri besar menghubungi SJK(T) Ladang Shanghai untuk menutup patung itu sebelum lawatan Mohamad baru-baru ini.

Mohamad melawat sekolah itu untuk mengumumkan pemberian tanah khas bagi SJK(T) Ladang Shanghai.

Menjernihkan isu itu, Mohamad berkata pejabat memang meminta patung Thiruvalluvar ditutup tetapi atas alasan untuk menghormatinya.

Buku karangan Thiruvalluvar, Thirukkural, sebuah buku panduan etika hidup yang ditulis beberapa abad dulu diterjemahkan ke dalam banyak bahasa.

“Pentas didirikan di depan patung itu. Tidak eloklah bila punggung kami menghadap patung itu, jadi lebih baik ditutup untuk menghormati patung itu.

“Isu ini dipolitikkan sesetengah pihak tanpa sebab,” katanya ketika dihubungi FMT.

Mohamad berkata beliau berada di sekolah itu untuk mengumumkan pemberian satu ekar tanah kepada sekolah itu oleh kerajaan negeri dan juga sebidang tanah seluas 17,000 kaki persegi di pintu masuk sekolah untuk membina sebuah kuil.

hassan1

Beliau berkata kerajaan persekutuan meluluskan RM4.9 juta untuk membina sebuah bangunan baru 3 tingkat untuk SJK(T) Ladang Shanghai di tanah yang diberikan kerajaan negeri.

“Orang India di Negeri Sembilan tahu saya sudah melakukan banyak perkara untuk mereka.

“Selama bertahun-tahun ini, saya sudah membantu memutihkan ratusan kuil yang dibina secara haram dan juga menyediakan tanah tambahan untuk 11 sekolah Tamil di negeri ini,” katanya.

Gambar khemah yang diletakkan pada patung itu menjadi tular di WhatsApp baru-baru ini, memaparkan bendera Negeri Sembilan dan Malaysia digunakan untuk menutup bahagian sisi dan depan patung itu.

Pembangkang mempersoalkan mengapa patung itu ditutup dan bertanyakan sama ada ia ada kaitan dengan lawatan Mohamad.

Seorang jurucakap SJK(T) Ladang Shanghai memberitahu FMT semalam mereka tidak diberitahu untuk menutup patung itu dan patung ditutup kerana baru dicat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.