
Najib berkata secara kebetulan semua acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang dikunjunginya semalam dimenangi olahragawan negara.
Sebelum itu, Presiden Gabungan Persatuan Ketua Kampung Malaysia Datuk Shahaimi Othman berkata Najib mempunyai “sentuhan emas” kerana olahragawan negara memenangi pingat emas di setiap acara yang dihadiri Najib.
“Datuk Shahaimi kata saya ada sentuhan emas. Secara kebetulan semalam tempat yang saya pergi semua menang,” kata Najib di Perhimpunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKKP) & Anugerah Desa Perdana 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
“Malam ini saya nak pergi (ke stadium) untuk pelari hebat kita, Khairul Hafiz Jantan dalam perlumbaan 100 meter peringkat akhir. Mudah-mudahan dapat pingat emas.”
Najib turut memuji kemenangan pasukan bola sepak Malaysia menumpaskan pendahulu Myanmar 3-1 pada perlawanan peringkat Kumpulan A semalam.
Myanmar masih mendahului Kumpulan A dengan 9 mata dan layak ke separuh akhir, sementara Malaysia yang berada di tempat kedua dengan 9 mata juga berpeluang mengatasi kedudukan Myanmar apabila bertemu Laos, Rabu ini.
Najib meminta ketua-ketua kampung dan ahli JKKK/JKKKP mengambil pengajaran daripada pertembungan Malaysia-Myanmar semalam.
“Bila main dalam satu pasukan, penuh dengan persefahaman dan tahu peranan, boleh jaringkan ‘gol’. Myanmar buat gol sebab ada seorang buat silap.
“Kalau kerjasama dalam pasukan padu dan jitu, insyaallah, pilihan raya umum ke-14 kita akan berjaya,” katanya.
Lebih 10,000 ahli JKKK dan JKKKP yang hadir pada perhimpunan itu.