
Perkembangan ini menyusuli beberapa keputusan majlis fatwa negeri terhadap 16 kumpulan itu, termasuk Qadiani, serta Hizbut Tahrir, yang baru-baru ini diharamkan di Indonesia kerana kepercayaan politik yang radikal.
Pengharamakan itu mengundang kritikan daripada pengikut mereka di Malaysia Barat, yang berkata gerakan mereka gerakan orang Islam yang aman dan menyumbang kepada masyarakat setempat, terutamanya di Sabah.
Tetapi Mufti Sabah Bungsu Aziz Jaafar dalam temubual dengan FMT berkata pengharaman itu tiada kena mengena dengan dakwaan yang mengaitkan gerakan terbabit kepada keganasan.
“Kalau mereka kata mereka gerakan aman, perkara itu akan ditentukan oleh pihak berkuasa keselamatan,” katanya.
“Siasatan kita dari perspektif akidah dan aspek lain yang berkaitan dengan agama.”
Bungsu berkata ajaran Qadiani percaya pemimpin mereka, Mirza Ghulam Ahmad, seorang rasul. Islam menganggap Nabi Muhammad rasul terakhir.
Beliau berkata pihak berkuasa agama turut mengambil kira kesatuan Islam dalam keputusan mereka.
Menurut beliau, penolakan Hizbut Tahrir terhadap sistem tadbir urus sedia ada untuk sistem khalifah mengancam kesatua Islam di Malaysia.
“Mengikut sejarah, Islam tiba di negara ini dan mengekalkan sistem raja. Bererti boleh jadi seorang raja, tak perlu jadi seorang khalifah,” katanya, dan menambah orang Islam mesti menyesuaikan diri dengan keadaan berbeza apabila mentadbir sesebuah negara.
Beliau berkata dunia Islam pernah ditadbir khalifah Umayyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah, dan sistem raja yang diamalkan di Malaysia tidak jauh berbeza.
“Ini soal ijtihad,” katanya.
Beliau berkata adalah salah bagi umat Islam menolak kesahan pemerintah yang mengamalkan Islam dalam tadbir urus negara.
Bungsu tidak bersetuju pihak berkuasa agama negeri perlu berhubungan dengan kumpulan yang dianggap menyeleweng.
“Ada perkara yang kita boleh berdialog dan ada perkara yang perlu diambil tindakan. Untuk perkara yang jelas seperti Qadiani, mengapa perlu berdialog? Kita sudah kaji dan dapati ajaran itu ternyata menyeleweng,” katanya. “Fatwa dikeluarkan selepas menghimpunkan semua fatwa, bukan dibuat tanpa aturan.”
Sabah turut menangkap 8 pengikut ajaran Islam lain, Millah Ibrahim, yang dihantar pulang ke Kuala Lumpur untuk dibicarakan di mahkamah syariah.
Bagi Bungsu, Millah Ibrahim “lebih teruk” kerana ia mencampurkan Islam, Kristian dan Yahudi, dan menambah ajaran bertentangan dengan ajaran Sunnah Wal Jamaah.