Apa tujuan RCI Memali, soal bekas ketua polis

Apa tujuan RCI Memali, soal bekas ketua polis

Hanif Omar berkata, beliau tidak berada dalam negara ketika tragedi Memali berlaku dan input daripada timbalannya serta pengarah keselamatan dalam negeri amat penting, tetapi mereka sudah meninggal dunia.

Hanif-Omar-rci2
PETALING JAYA: Bekas ketua polis negara, Tun Hanif Omar mempersoalkan objektif cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas tragedi Memali pada 1985.

Hanif yang menerajui pasukan polis dari 1974 hingga 1994 berkata, beliau tiada dalam negara semasa kejadian itu berlaku kerana sedang mengambil cuti belajar di United Kingdom.

“Ketika itu, Tan Sri Mohamed Amin Osman bertindak sebagai pemangku ketua polis negara dan Datuk Yahya Yeop (Ishak) ialah pengarah keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam,” katanya kepada FMT.

Hanif berkata, Amin dan Yahya yang sudah meninggal dunia, adalah 2 pegawai polis utama yang merancang cubaan menahan Ibrahim Libya.

Katanya, RCI ke atas tragedi Memali akan kekurangan input langsung daripada Amin dan Yahya, walaupun mereka berdua mempunyai kakitangan sokongan yang sesetengahnya masih hidup.

“Saya rasa mereka yang mahukan RCI perlu menjelaskan mengapa mereka mahukannya. Kenapa Kertas Putih yang dikeluarkan kerajaan tidak mencukupi? Apakah objektifnya?”

Beliau berkata, penjelasan itu perlu untuk mengelakkan duplikasi Kertas Putih itu, selain penubuhan RCI memerlukan wang dan sumber.

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan sedia pertimbangkan penubuhan RCI untuk mengkaji tragedi Memali pada 1985, jika ada permintaan.

Tun Dr Mahathir Mohamad ialah perdana menteri ketika tragedi itu tercetus di Kampung Memali, Baling, Kedah, yang menyaksikan konfrontasi polis dengan penyokong Ibrahim Libya menentang cubaan menahan guru agama itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Akibatnya, 14 penduduk kampung dan 4 anggota polis terkorban.

Dr Mahathir sebelum ini mendakwa beliau tiada dalam negara ketika tragedi Memali berlaku dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada timbalannya ketika itu, Tun Musa Hitam yang juga menteri dalam negeri.

Bagaimanapun, dalam autobiografinya yang diterbit pada 2014, Musa mendakwa Dr Mahathir berada dalam negara ketika itu.

Baru-baru ini, peguam pengerusi Pakatan Harapan itu, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, rakyat tahu RCI ke atas tragedi Memali mempunyai motif politik.

Kerajaan sedia pertimbang RCI kaji tragedi Memali, kata Zahid

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.