
Naib Pengerusi Gerakan Oh Tong Keong berkata surat yang dihantar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu diterima wakil kerajaan negeri 4 Oktober tahun lepas namun kilang itu masih dibenarkan beroperasi secara haram.
“Hal ini jelas menunjukkan kerajaan negeri gagal menangani masalah dihadapi rakyat khususnya penduduk di Kampung Sungai Lembu,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, surat itu ditandatangani 179 wakil penduduk kawasan berkenaan bagi mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap kilang yang mencemarkan kawasan perkampungan mereka.
Beliau berkata kegagalan kerajaan pimpinan DAP menangani isu kilang haram di Sungai Lembu sejak 10 tahun lepas membuktikan mereka tidak mempunyai panduan urus tadbir cekap.
Minggu lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan operasi di kilang haram memproses serbuk kayu yang dipercayai mencemari alam sekitar Kampung Sungai Lembu. SPRM turut mengambil beberapa dokumen dari pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda untuk siasatan kes itu.
Susulan itu, SPRM menahan anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh dan dua beranak yang merupakan pengarah dan pengurus kilang itu bagi membantu siasatan.
Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan anggota Dewan Undangan Negeri Penanti daripada PKR Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri.
Kilang haram: Dasar tangguh tindakan tidak dihebahkan, kata Guan Eng