
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dalam kenyataan hari ini berkata, rundingan antara kerajaan Selangor dan Splash mengenai nilai pengambilalihan syarikat itu dibuat atas kerelaan penjual dan pembeli.
Menurut beliau, kementerian itu hanya menjadi pemudah cara proses berkenaan.
“Rundingan mengenai nilai belum selesai dan proses pengambilalihan pun belum bermula. Oleh itu, adalah pramatang untuk mengguna pakai Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Ia perlu diguna pakai secara saksama dan penuh berhemat,” kata beliau.
Zaini berkata, Seksyen 114 hanya membolehkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memulakan kawalan terhadap pengurusan aset dan menjalankan perniagaan pemegang lesen untuk terus membekalkan air kepada orang ramai.
“Ia tidak memberi kuasa kepada SPAN untuk melupuskan aset pemegang lesen atau sebarang aktiviti yang tidak sejajar dengan tujuan ia dikeluarkan mengikut akta itu,” katanya.
Sementara itu, Zaini berkata, peranan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) selepas pengambilalihan itu ialah membangunkan aset air untuk pengendali air dan memajaknya kembali kepada mereka untuk tujuan operasi pada kadar pajakan yang munasabah berdasarkan tarif rendah air sedia ada.
Katanya, pengendali air dengan kelulusan SPAN mempunyai pilihan untuk membina, menaik taraf atau memperkemas aset air baharu dengan menggunakan kemudahan PAAB atau mana-mana kemudahan pembiayaan lain, dengan syarat kos pembiayaan itu adalah setara atau lebih rendah daripada pembiayaan PAAB.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu, kementerian itu berkata, berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada 12 September 2014, proses pemerolehan itu sepatutnya dimuktamadkan pada 7 Oktober 2016.
Bagaimanapun, tarikh itu dilanjutkan untuk pertama kali selama 6 bulan lagi, yang berakhir 6 April dengan persetujuan pihak berkenaan, sebelum dilanjutkan bagi kali ke-2 untuk 6 bulan lagi hingga 5 Oktober kerana proses rundingan mengenai pengambilalihan itu belum dimuktamadkan.
Menurut kementerian itu, kerajaan persekutuan belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan Selangor mengenai jumlah pinjaman untuk membiayai pemerolehan ekuiti dalam Splash.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dilaporkan menolak cadangan kerajaan persekutuan untuk mengguna pakai nisbah 60:40 bagi pemerolehan ekuiti Splash.
Di bawah cadangan itu, 60% pembiayaan daripada kerajaan persekutuan melalui PAAB dan 40% daripada kerajaan negeri Selangor.