Exco Pulau Pinang nafi RM2 juta dalam akaun

Exco Pulau Pinang nafi RM2 juta dalam akaun

Phee Boon Poh akan menyaman akhbar yang menyiarkan laporan palsu mengenai dakwaan 4 akaun bank miliknya dibekukan SPRM.

phee-boon-poh-pulau-pinang-lim-guan-eng-1
GEORGE TOWN: Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh menafikan laporan media yang mendakwa beliau mempunyai RM2 juta dalam akaun banknya.

Katanya, beliau akan menyaman akhbar yang “menerbitkan laporan palsu” dan menyifatkan ia “konspirasi politik jahat” terhadapnya serta kerajaan Pulau Pinang.

Phee Boon Poh.
Phee Boon Poh.

“Saya dan keluarga terkejut serta marah membaca laporan akhbar palsu itu kononnya ada RM2 juta dalam 4 akaun bank saya yang dibekukan SPRM.

“Ia salah untuk maklumat itu didedahkan atau diterbitkan dalam akhbar, terutamanya apabila saya tidak dimaklumkan atau hanya membaca mengenainya dalam akhbar pro-BN.

“Saya belum terima sebarang notis daripada SPRM menyatakan akaun bank saya dibekukan,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.

Baru-baru ini, akhbar arus perdana melaporkan SPRM membekukan 4 akaun bank milik Phee ekoran siasatan berterusan ke atas sebuah kilang haram di Sungai Lembu berhampiran Bukit Mertajam.

Akhbar berkenaan memetik sumber SPRM sebagai berkata, agensi itu masih menyiasat kes berkenaan dan mengambil keterangan pihak berkaitan berhubung kilang penapisan karbon itu yang didakwa beroperasi tanpa permit sah selama bertahun-tahun dan menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Phee berkata, peguamnya akan memfailkan notis tuntutan segera kepada akhbar itu “untuk melindungi keluarga saya dan membersihkan nama saya”.

Phee berhasrat menyaman akhbar Utusan Malaysia, New Straits Times, The Star, Sin Chew Jit Poh dan Guang Ming Daily.

Beliau berkata, peguamnya, RSN Rayer cuba menghubungi SPRM untuk mengesahkan pembekuan akaunnya, namun tidak berjaya.

“Saya mengulangi yang saya bersih dan bebas daripada rasuah. Saya tidak mengambil sebarang wang daripada kilang pemprosesan penapis karbon yang tidak berlesen di Sungai Lembu.

“Saya atau keluarga saya tiada kepentingan peribadi dalam kilang itu atau pemilik kilang itu ada kaitan dengan saya,” katanya.

Phee, 66, direman SPRM selama 3 hari sebelum Mahkamah Tinggi mengisytiharkan reman 5 hari itu tidak sah pada 14 Ogos lalu. SPRM kemudiannya memaklumkan mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Dua lelaki yang turut terlibat dalam kes itu ialah seorang bapa berusia 70 tahun dan anaknya berusia 37 tahun yang merupakan pemilik kilang, juga dibebaskan daripada reman oleh mahkamah.

Phee kemudiannya mengambil cuti sakit seminggu dan meneruskan tugasnya sebagai exco hari ini.

Adun DAP Sungai Puyu itu disiasat menggunakan jawatan atau kedudukannya atas tuduhan rasuah di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Penangkapan Phee pada 11 Ogos lalu susulan operasi pelbagai agensi ke atas yang kilang berkenaan sehari sebelumnya.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati kilang itu tidak mempunyai sistem kawalan pencemaran udara sewajarnya dan dikatakan beroperasi secara haram di tanah pertanian di Sungai Lembu.

Operasi itu membabitkan SPRM, Jabatan Imigresen, JAS dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain kilang itu, Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) turut diserbu SPRM.

SPRM berkata, ia sedang menyiasat 2 surat yang didakwa ditulis Phee meminta tiada tindakan diambil ke atas kilang haram itu.

Exco Pulau Pinang cuti sakit 1 minggu, trauma ditahan SPRM

Reman tidak sah, exco Pulau Pinang dibebaskan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.