
Chee Heng, 53, berkata, sejak ia dilancarkan bagi membantu mereka yang memerlukan pada 5 Julai lalu, kira-kira 100 orang telah menggunakan kemudahan itu, terdiri dairpada 2 rumah, yang terletak di Taman Puchong Utama, Puchong dekat sini.
“Kalau dikira kekerapan, hari-hari ada orang yang menumpang tetapi kadang-kadang saiz keluarga berlainan.
“Kadang-kadang saya pun suka juga. Saya tak boleh tolak mereka kerana ramai keluarga datang. Bila bapa sakit, anak semua nak ikut,” kata beliau kepada FMT.
Ahli perniagaan ini berkata, antara mereka yang menumpang di rumah berkenaan adalah keluarga pesakit yang mahu ke hospital melawat pesakit dan mereka yang kehilangan rumah akibat terbakar.
Beliau berkata, mereka yang memerlukan rumah untuk menginap hanya perlu membayar RM1 untuk 1 bilik sebagai “cukup syarat”.
“Kita anggarkan bulan November dan Disember ini, ramai yang akan datang kerana ramai yang buat rawatan dan cuti sekolah,” katanya.
Chee Heng mendapat idea Rumah RM1 semasa beliau dan seorang rakan kongsinya melawat Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Kita dapati ada orang tidur tepi jalan, tepi tangga, ada yang tidur dalam kereta sampai mereka panas kena ‘heat strok’… anak di Unit Rawatan Rapi, anda kena tidur dalam sebulan, jiwa pun tak akan tenteram.
“Kesengseraan itu tak sepatutnya berlaku.
“Dan bila kita lihat orang sakit itu dah sengsara, mengapa kita yang mampu, tak tolong. Kalau kita tolong bagus kan. Kita bagi tempat (Rumah RM1) macam ini.”
Katanya, mereka yang mampu seharusnya membantu golongan tidak mampu, dan berbuat demikian “kita harap dapat kurangkan kesengsaraan dan Malaysia ini menjadi negara yang lebih baik.”
Mengulas mengenai dana yang diperoleh untuk menguruskan kemudahan itu, beliau berkata, seorang ahli perniagaan bernama Datuk Paul Lim turut menghulurkan sokongan dan bantuan.
“Sewa, bil api, air semua dia tanggung,” jelas beliau.
Dari segi kelengkapan, beliau berkata, rumah terbabit mempunyai 4 bilik yang dilengkapi katil, tilam, almari, pendingin hawa dan perkhidmatan WiFi.
Mereka yang mahu menginap rumah terbabit boleh menghubungi Facebook Kuan Chee Heng.
Nurul Azwa Mohd Aris turut menyumbang kepada artikel ini.