
Ketua Penerangan PPBM Pulau Pinang Yaakob Osman berkata remaja lelaki itu pada mulanya bersalaman dengan Dr Mahathir, tetapi kemudian cuba hendak menerkam dan memeluk pengerusi PPBM itu.
“Pihak kawalan keselamatan terpaksa bertindak untuk menarik dan membawa keluar si pelaku dari kawasan perimeter program. Ini adalah langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas Tun Mahathir.
“Tidak ada berlaku sebarang kekasaran yang dilakukan ke atas beliau selain dari usaha untuk memastikan beliau dibawa keluar dan diminta beredar,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, bapa kepada remaja berusia 17 tahun itu membuat laporan polis terhadap kekasaran pasukan keselamatan PPBM.
Kejadian berlaku sejurus selepas tengah malam, apabila Dr Mahathir meninggalkan padang Majlis Perbandaran Seberang Perai di Kepala Batas menuju ke kenderaannya.
Video kejadian itu, yang menunjukkan remaja itu dikenakan kuncian ‘chokehold’ oleh anggota keselamatan PPBM, menjadi tular.
Dalam video 3 minit itu, bapa remaja itu yang dilihat bergelut dengan anggota keselamatan menuntut anaknya dilepaskan.
Akibatnya, bapa remaja itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Faisal, membantu anaknya membuat laporan polis terhadap anggota keselamatan PPBM terbabit di Balai Polis Kepala Batas berhampiran tempat ceramah.
Faisal, 50-an, mendakwa dirinya “bekas pemimpin kanan PKR Pulau Pinang”.
“Anak saya hanya mahu bertemu Dr Mahathir,” kata Faisal kepada pemberita di luar balai polis.
Tahap keselamatan di acara melibatkan pimpinan pembangkang, terutamanya pengerusi PH itu, ditingkatkan berikutan keganasan di forum “Nothing to Hide 2.0” yang dihadiri Dr Mahathir di Shah Alam, Selangor 13 Ogos lalu.
Forum di Dewan Raja Muda Musa itu menyaksikan pelbagai jenis objek, termasuk kerusi dan suar dibaling ke arah pentas ketika Dr Mahathir sedang menjawab soalan hadirin.
Ceramah Jelajah Semarak semalam turut menampilkan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Ceramah itu dihadiri hampir 3,000 orang.