
Beliau berkata dasar itu bagi mengelakkan pesalah melengahkan proses pemutihan perniagaan atau bangunan dengan bantuan dan desakan kerajaan negeri sejak 9 tahun lalu.
Lim berkata demikian selepas pengkritik mempertikaikan mengapa dasar itu tidak dihebahkan sebelum penutupan sebuah kilang haram di Bukit Mertajam baru-baru ini.
“Kita tidak mahu beri gambaran operasi haram boleh terus beroperasi. Matlamat kami ialah beri mereka masa untuk beroperasi secara sah atau mencari suatu penyelesaian yang baik,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.
Dasar itu mengambil pendekatan berlembut dengan operasi haram yang dibina sebelum 2008, selagi tidak menghalang lalulintas atau menganggu orang ramai.
Lim berkata dasar itu digunapakai untuk bangunan, kilang, penjaja dan rumah ibadat bukan Islam.
Beliau berkata pendekatn sama digunakan dalam kes kilang penapis karbon di Sungai Lembu, Bukit Mertajam.
Penyiasat persekutuan melancarkan siasatan rasuah terhadap kilang itu dan Exco Phee Boon Poh selepas menerima aduan. Siasatan itu membawa kepada Phee dan 2 pemilik kilang terbabit ditahan 3 hari untuk siasatan.
Kilang itu disita oleh pengawalselia alam sekitar dan lubang bakarnya dipadam kerana tidak mempunyai kawalan pengeluaran asap yang sepatutnya. Penduduk berhampiran membuat aduan mengenai pengeluaran asap sejak beberapa tahun lalu.
Lim berkata orang ramai berhak mengkritik kerajaan negeri kerana tidak bertindak dalam 9 tahun pentadbirannya mentadbir Pulau Pinang.
Beliau berkata oleh kerana Barisan Nasional sangat lantang mengenai isu ini, beliau menggesa mereka menawarkan penyelesaian kepada masalah bangunan haram yang dibina sebelum 2008.
Lim memetik laporan Malaysian Insight yang melaporkan kilang penapis karbon di Bukit Mertajam beroperasi sejak 2002.
Beliau berkata BN memutar-belitkan fakta mengatakan kilang itu mula wujud pada 2008.
“Saya tahu struktur haram tidak betul. Anda boleh mengkritik kami yang cuba mencari suatu penyelesaian yang baik untuk semua pihak terlibat. Kami terima kritikan itu.
“Kami mewarisi masalah 50 tahun ini daripada kerajaan BN terdahulu. Jadi kami perlukan masa. Masalah ini tidak boleh diselesaikan dalam masa 9 tahun.
“BN serah masalah ini kepada kami dan kami membersihkan masalah mereka selama ini tanpa membuat bising. Tetapi, BN mengkritik pula.
“Saya tertanya, kalau BN mahu mengkritik, apa pula tindakan yang akan mereka ambil? Robohkan semua bangunan haram apabila mereka berkuasa?
“Mereka mesti jawab soalan ini. Jika tidak, jangan jadi tin kosong dan mengkritik kami membersihkan masalah kamu,” katanya.