
Jurucakap Biro Tanah dan Anti Rasuah Gerakan Pulau Pinang, Hng Khoon Leng berkata, kilang yang diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, bermula dengan skala kecil pada 2007.
Kilang habuk kayu itu adalah punca exco negeri, Phee Boon Poh dan 2 pemilik kilang terbabit ditahan SPRM minggu lalu.
Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional ketika itu dimaklumkan mengenai aktiviti mereka yang kemudiannya memberitahu Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Mei 2007.
“Hasilnya, kilang kecil itu disiasat dan beberapa kerja pemulihan dilakukan untuk mengurangkan impaknya.
“Bagaimanapun, 9 bulan kemudian pada awal March 2008, DAP mengambil alih kerajaan Pulau Pinang.
“Oleh itu, kerajaan negeri DAP kini cuba menyalahkan kerajaan BN dahulu atas isu ini tidak masuk akal dan tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Hng menjelaskan syarikat yang memiliki kilang itu diperbadankan pada 14 September 2006 dan memulakan operasi kilang menghasilkan karbon diaktifkan pada 2007.
Beliau berkata, gambar satelit menunjukkan kilang itu tidak kelihatan sehingga 31 Ogos 2008. Kilang haram itu boleh dilihat dengan jelas dalam gambar satelit berikutnya mulai 2009.


“Gambar ini menunjukkan kilang haram kini boleh beroperasi secara terbuka.
“Adakah tindakan berani ini mungkin disebabkan perlindungan daripada seorang pegawai kanan kerajaan kepada kilang haram itu?
“Gambar satelit ini seterusnya mewajarkan siasatan SPRM…anda (kerajaan Pulau Pinang) berkuasa lebih 9 tahun. Tolong bertindak berani dan bertanggungjawab,” katanya.
Kilang di bawah siasatan SPRM itu menggunakan kaedah konvensional membakar habuk kayu untuk menghasilkan karbon diaktifkan, yang digunakan secara meluas dalam penapisan udara, air dan penghawa dingin.
Terdapat 31 lubang pembakaran terbuka yang baranya masih dalam proses dipadamkan oleh bomba.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memulakan siasatan rasuah ke atas kilang itu, selepas pendedahan kilang seluas 5,000m persegi di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam itu tidak mempunyai sistem kawalan pencemaran udara yang sewajarnya.
Kilang itu terletak di tanah berbukit di sebuah ladang kelapa sawit dan kira-kira 1km dari kawasan perumahan terdekat. Ia berhenti operasi selepas disita JAS.
Laporan mengatakan penduduk di kawasan terbabit mengadu udara kotor berterusan yang menyebabkan mereka jatuh sakit sejak 10 tahun lalu.
Kerajaan negeri mengakui tahu kilang itu adalah haram, tetapi memilih untuk membantu menghalalkannya kerana ia dibina sebelum 2008, iaitu sebelum DAP menjadi kerajaan negeri.
Baru-baru ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng memohon maaf kepada penduduk terjejas akibat kilang haram itu, atas dasar memberi peluang kepada struktur haram sebelum 2008.
Beliau berkata, ia akan mengambil tindakan ke atas semua bangunan sebelum 2008, hanya jika BN menyokong tindakan itu.
Pemilik kilang, Edmund Gan memberitahu The Star mereka cuba terbaik untuk mematuhi peraturan dan tidak berniat beroperasi secara haram.
Katanya, syarikat itu sudah menyerahkan permohonan menukar status tanah pertanian itu, tetapi ditolak.
Beliau turut menafikan dakwaan asap daripada lubang habuk kayu terbuka bertoksik.
Katanya, karbon diaktifkan yang dihasilkan, dihantar untuk ujian makmal sebelum dijual.
Bapanya, Buck Hee berkata, mereka sudah mengendalikan kilang mereka di Alma, kira-kira 9km dari selatan lokasi mereka sekarang selama 30 tahun.
Oleh itu, beliau hairan kenapa penduduk kampung hanya membuat aduan sekarang selepas 15 tahun.