
“Di majlis perkahwinan anak saudara perempuan, Tunku Tun Aminah. Memakai baju yang dibuat daripada Tenun Pahang Diraja, rekaan saya…ditenun banduan Penjara Penor,” kata Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar di Twitter.
Di majlis persandingannya, Tunku Tun Aminah mengenakan busana tradisional, baju kurung berwarna putih, sedondon dengan pasangannya Dennis Muhammad Abdullah yang turut mengenakan baju Melayu teluk belanga.
Majlis persandingan berlangsung dalam suasana gilang gemilang di Istana Besar Isnin lalu.
Pejabat Akhbar Diraja Johor dalam kenyataan menyatakan pasangan itu berangkat menuju ke Istana Besar menaiki kereta antik Mercedes Limousine Covertible, disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar.
Istiadat persandingan diraja bermula pada jam 8.00 malam dengan keberangkatan masuk Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah
Ia diikuti dengan keberangkatan masuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha; Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.
Persekitaran Istana Besar dihiasi dengan pelbagai bunga-bungaan dan limpahan cahaya berwarni-warni bagi memeriahkan lagi istiadat persandingan pengantin diraja itu.