
Pengerusinya, Ab Aziz Ab Kadir berkata, pengekalan lantikan politik itu susulan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang kerajaan negeri masih memerlukan kerjasama PKR dalam pentadbiran mereka.
Aziz berkata, beliau juga kekal sebagai pengerusi PKR Kelantan dan 2 perkara itu sudah dimaklumkan kepada Biro Politik Pusat menerusi mesyuarat semalam.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada presiden PKR dan Biro Politik Pusat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk terus memimpin PKR Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan 56 ahli PKR lantikan politik dalam kerajaan Kelantan menunggu keputusan rasmi daripada PKR Pusat, selepas parti itu menangguhkan pelaksanaan arahan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Baru-baru ini, Ketua Penerangan PKR Kelantan, Mohammad Azihan Che Seman dilaporkan berkata, 7 ahli majlis daerah daripada parti itu meletak jawatan.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan laporan itu.
Aziz berkata, beliau bersama PKR negeri terus komited memperkukuh kedudukan parti itu di Kelantan, khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Lantikan politik terus bertugas seperti biasa, kata PAS, PKR Kelantan