5 kontraktor dakwa The Star tamat kontrak tanpa alasan

5 kontraktor dakwa The Star tamat kontrak tanpa alasan

The Star Media Group berkata, kontrak mereka bukannya dihentikan, sebaliknya ia tamat tempoh dan ia adalah keputusan komersial untuk tidak menyambung semula kontrak mereka.

start-contractor-1
PETALING JAYA:
Lima kontraktor yang menguruskan penghantaran surat khabar The Star mendakwa ditamatkan kontrak oleh syarikat itu pada Isnin lalu, tanpa alasan munasabah.

Sehubungan itu, mereka membawa 50 pekerja dan ahli keluarga untuk mengadakan bantahan di depan bangunan The Star di sini, petang tadi.

Bagaimanapun, protes itu dibatalkan selepas pihak pengurusan The Star mengadakan rundingan lebih sejam dengan 5 kontraktor terbabit dan meminta diberikan 2 hari untuk memutuskan sama ada akan menyambung semula kontrak mereka.

Seorang daripada kontraktor itu, Thinagaran Kamarusamay mendakwa akhbar itu menamatkan kontrak secara tiba-tiba tanpa sebarang notis, walaupun mereka tidak pernah melanggar syarat ditetapkan syarikat terbabit.

“Kita ada 5 kontraktor dan lebih kurang 500 pekerja. Tiba-tiba mereka tarik kontrak kami tanpa sebarang notis dan kesalahan. Kami tidak tahu apa salah kami.

“Ini melibatkan periuk nasi kami dan memberi kesan kepada semua keluarga pekerja terlibat,” katanya kepada FMT di luar bangunan The Star.

The Star Media Group dalam satu kenyataan bagaimanapun mempertahankan tindakan itu sebagai keputusan komersial.

“Kontrak mereka tamat tempoh. Mereka bukannya dihentikan.

“Ia semata-mata keputusan komersial dalam keadaan pasaran yang mencabar sekarang. Latihan rasionalisasi itu adalah projek berterusan.

“Kami kesal pihak terjejas membabitkan kumpulan orang yang tidak berada dalam perniagaan itu.”

Sementara itu, seorang lagi kontraktor, Satishdevan Ponniah berkata, mereka akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika tiada keputusan diberikan The Star selepas 2 hari.

“Ini supaya satu kertas siasatan dibuka untuk isu ini. Kami berharap pihak pengurusan mengambil tindakan selanjutnya.

“Sebab ini tender terbuka dan kenapa ada yang diteruskan dan kami dihentikan tanpa sebab. Kita mahu tahu sebab diberhentikan,” katanya.

Menurut Audit Biro Pengedaran, The Star merupakan akhbar harian berbahasa Inggeris di Malaysia dengan kira-kira 300,000 pembaca.

Penerbitan akhbar itu pernah digantung pada 1987 ketika Operasi Lalang bersama akhbar Watan dan Sin Chew Daily.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.