PSM tak terkejut parti politik upah remaja untuk tujuan politik

PSM tak terkejut parti politik upah remaja untuk tujuan politik

Sementara itu seorang aktivis masyarakat berharap ahli politik berhenti pergunakan golongan remaja sebagai soldadu upahan.

S-Arutchelvan-nothintohide
PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak terkejut terdapat parti politik mengambil kesempatan daripada keadaan sosial dan ekonomi di kawasan seperti Taman Lindungan Jaya untuk mengupah golongan remaja bagi meramaikan majlis dan perhimpunan.

Ahli Jawatankuasa PSM S Arutchelvan berkata demikian selepas polis menahan 10 suspek termasuk remaja berikutan insiden ganas yang mencemar forum terus terang “Nothing to Hide 2.0” anjuran PPBM baru-baru ini.

“Politik sekarang bukan macam dahulu, politik sekarang siapa ada duit. Macam kempen pilihan raya pun kita tengok bukan ahli parti yang buat kerja macam dulu.

“Dulu pekerja parti yang menjalankan kempen, protes dan sebagainya. Sekarang dengan menggunakan duit itu, mereka cari kumpulan yang boleh diupah dan ini satu budaya yang bahaya,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

FMT sebelum ini melaporkan Taman Lindungan Jaya, Petaling Jaya yang dihuni penduduk yang rata-rata berpendapatan kecil dan sederhana antara “sumber manusia” bagi pelbagai aktiviti politik.

Salah seorang daripada 3 remaja yang ditahan polis Ahad lalu beralamatkan kawasan kejiranan itu. Mereka disyaki mencetuskan kekecohan di program itu dengan membaling suar dan objek lain ke arah pentas, ketika ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad. Portal The Malaysian Insight memetik sumber yang rapat dengan polis sebagai berkata remaja mereka diupah RM50 ringgit bagi menimbulkan kekecohan.

Menurut seorang penduduk, upah RM20 dan RM30 kepada anak muda di Taman Lindungan Jaya suatu perkara biasa.

“Kita harus mendapatkan pekerjaan (untuk mereka),” kata Arutchelvan. Aktivis sosialis itu berkata masalah ekonomi di kawasan seperti Taman Lindungan Jaya perlu diatasi jika mahu membanteras gejala itu.

“Kementerian Sumber Manusia menyatakan ada banyak pekerjaan tetapi orang ramai tidak tahu pekerjaan itu untuk mereka atau bukan kerana majikan lebih gemar mengambil pekerja asing.”

Mengulas isu yang sama, aktivis masyarakat yang popular dengan perkhidmatan ambulans dan teksi 10 sen, Kuan Chee Heng berkata, perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku.

“Bagaimana miskin pun, kita ini tidak boleh jadi soldadu upahan. Kerana harga diri itu lebih tinggi daripada harga duit,” tegasnya.

Beliau berharap ahli politik berhenti menggunakan segala muslihat untuk pergunakan golongan remaja.

“Kita harus ingat bahawa kita perlu menggerakkan Malaysia ke hadapan daripada terlibat dengan gejala macam yang digunakan orang politik ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.