Rafizi puji ahli Parlimen Umno berani soal 1MDB

Rafizi puji ahli Parlimen Umno berani soal 1MDB

Naib presiden PKR itu berkata, beliau tahu sukar untuk pemimpin dan wakil rakyat Umno mengkritik 1MDB.

rafizi-1mdb-1
PETALING JAYA: Rafizi Ramli memuji keberanian ahli Parlimen Kulim Bandar Baru daripada Umno, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menyuarakan kebimbangannya terhadap 1MDB.

Baru-baru ini, Aziz yang juga wakil Barisan Nasional dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyerahkan satu soalan kepada Dewan Rakyat bagi mengetahui perkembangan siasatan berkaitan laporan PAC berhubung syarikat milik kerajaan itu daripada Kementerian Dalam Negeri.

Rafizi ketika bercakap pada jelajah “Bina Semula Negara” anjuran Pakatan Harapan di Kulim, malam tadi berkata, jelajah itu diadakan di beberapa kerusi dimenangi BN dengan majoriti tipis pada pilihan raya umum lalu.

Naib presiden PKR itu berkata, kebanyakan kerusi itu dipegang menteri Umno dan MCA, oleh itu beliau selalunya akan membuat lawak mengenai menteri terbabit.

Bagaimanapun, katanya, kali ini berbeza apabila jelajah itu tiba di Kulim Bandar Baru.

“Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru sekarang ialah Datuk Aziz Sheikh Fadzir. Dalam banyak-banyak pimpinan dan ahli Parlimen Umno, dia antara yang baik sikit, kerana dia ada hati, tahu 1MDB itu tidak betul.

“Jadi, saya tak akan sentuh Datuk Aziz sebab saya tengok kepayahan dia menjadi ahli Parlimen Umno, cuba cakap benda yang benar, kritik 1MDB.”

Rafizi yang lantang mengkritik 1MDB berkata, pengundi perlu tahu ada perkara yang tidak akan berubah demi kebaikan di dalam Umno.

“Sebab itu (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin), (Datuk Seri) Mukhriz dan lain-lain pun terima hakikat Umno dah rosak daripada atas sampai ke bawah,” katanya merujuk bekas pemimpin Umno yang kini menganggotai pucuk pimpinan PPBM.

“Kalau nak bantu rakyat bina semula negara, kita tak boleh lagi beri harapan langsung benda itu boleh dibuat dari dalam Umno.”

Khamis lalu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dilaporkan memohon menggantung sementara permohonan sivil merampas aset diperolehi ahli perniagaan kelahiran Malaysia Low Taek Jho, atau Jho Low, selepas agensi itu memulakan siasatan jenayah terhadap dana didakwa dilarikan daripada 1MDB untuk membeli hartanah dan aset lain lebih AS$1 bilion (RM4.3 bilion).

Pada 31 Julai lalu, Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin dilaporkan berkata, jawatankuasa itu tidak akan membuka semula siasatan terhadap 1MDB, biarpun DoJ memfailkan saman sivil terbaru untuk menyita aset didakwa dibeli daripada dana diseleweng pada 15 Jun lalu.

Beliau berkata, saman itu tiada kaitan dengan siasatan PAC dan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB sudah dibentangkan di Parlimen untuk tindakan kerajaan.

PAC yang dianggotai 9 ahli Parlimen kerajaan dan 5 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan rumusan serta cadangan kepada kerajaan berhubung tadbir urus syarikat milik Kementerian Kewangan itu pada 7 April 2016.

Laporan itu menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang kesalahan dalam isu berkaitan 1MDB, sebaliknya laporan setebal 106 muka surat itu mengesyorkan pihak berkuasa menyiasat bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak berkaitan.

Siasatan PAC yang bermula pada 19 Mei 2015 dan berakhir pada 11 Februari 2016 itu mengambil keterangan Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Lembaga Pengarah 1MDB, pengurusan tertinggi syarikat itu serta juruaudit mereka.

1MDB sudah selesai disiasat, tiada kaitan dengan DoJ, kata pengerusi PAC

AS mulakan siasatan jenayah terhadap wang curi 1MDB

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.