
Mengatakan Pemuda MCA mengesali langkah itu, Naib Pengerusi Nicole Wong Siaw Ting menggesa kerajaan mengekalkan Seksyen 88A dalam RUU tersebut bagi mengelakkan kekejaman penukaran agama kanak-kanak bawah umur sebelah pihak oleh ibu atau bapa yang memeluk Islam.
“Kami berharap keputusan baru kerajaan bukan akibat tekanan daripada golongan pelampau mahupun atas tujuan politik, kerana pengumuman ini sekali lagi menghancurkan harapan pasangan yang tidak menukar agama di mana anak mereka dirampas oleh pasangan muallaf atas kebencian mereka terhadap keputusan hak penjagaan oleh mahkamah atau tanpa pengetahuan pasangan yang tidak menukar agama.”
Nicole bimbang kegagalan menyelesaikan betul-betul isu ini akan memperlihatkan pertelingkahan hak penjagaan yang berterusan, dengan ibu atau bapa yang memeluk Islam mencari pemulihan daripada Mahkamah Syariah, “di mana hakim tersebut mempunyai kepercayaan sama”, dan pasangan yang tidak menukar agama meminta bantuan mahkamah sivil.
“Pengalaman daripada kes Indira Gandhi menunjukkan polis tidak akan bertindak ke atas perampasan anak bawah umur, apabila terdapat percanggahan penyerahan hak penjagaan antara mahkamah sivil dan syariah, mahupun mengambil tindakan mencari atau menahan pasangan muallaf yang membantah keputusan mahkamah sivil, walaupun adanya prosiding komital daripada mahkamah.
“Manakala, pasangan yang tidak menukar agama derita dalam kesedihan atas perpisahan dengan anaknya.”
Wong meminta kerajaan persekutuan mengambil contoh kerajaan Negeri Sembilan yang merancang menambah fasal kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003 yang memaksa orang yang mahu memeluk Islam menyelesaikan hal rumahtangga mereka, termasuk bercerai secara rasmi dengan pasangan yang enggan mengikut penukaran agama sebelum memeluk Islam.
Wong juga meminta kerajaan kembalikan susunan kata Perlembagaan Persekutuan “di mana Artikel 12(4), berkenaan satu proviso mengenai penentuan kepercayaan kanak-kanak bawah umur memerlukan “ibu bapa”, ditukar secara muslihat dalam edisi baru selepas 2002 bagi memasukkan ‘atau’ iaitu ‘ibu atau bapa’, tanpa melalui pembentangan atau perdebatan di Parlimen, tetapi menukar maksud dan niat secara kekal”.
Tambah Wong lagi, “Pemuda MCA menegaskan semula kedudukan parti yang sekian lama dipegang iaitu agama kanak-kanak bawah umur mesti diputuskan oleh ibu dan bapa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sehingga 2002.”
Wong berkata mana-mana perkahwinan yang dikontrakkan oleh undang-undang sivil hendaklan dibubarkan oleh undang-undang sivil tanpa mengira kepercayaan baharu orang yang menukar agama.
“Kedudukan parti kami kekal sejajar dengan Seksyen 88A(1) dan 88A(2) yang digugurkan di mana salah seorang pasangan menukar agama kepada Islam, agama anak bawah umur hendaklah kekal sepertimana agama ibu bapa semasa perkahwinan mereka didaftarkan. Anak itu boleh memilih agamanya setelah mencapai umur 18 tahun.”