Jangan ganggu atlet, rayu Marina Chin menjelang Sukan SEA

Jangan ganggu atlet, rayu Marina Chin menjelang Sukan SEA

Marina Chin juga mahukan perkara sama untuk kontinjen negara dan meminta agar diberikan sokongan bagi menaikkan semangat mereka.

marina-chin
KUALA LUMPUR:
Ketua kontinjen negara Datuk Marina Chin mahu agar skuad olahraga tidak diganggu dengan isu yang boleh melemahkan motivasi dan prestasi mereka menjelang Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Beliau juga mahukan perkara sama untuk kontinjen negara dan meminta agar diberikan sokongan bagi menaikkan semangat mereka.

“Hanya tinggal lagi 10 hari, jadi jangan ganggu mereka. Biarkan mereka buat latihan dan raih pingat untuk Malaysia. Bantu Malaysia jadi juara keseluruhan,” katanya ketika melawat sesi latihan skuad olahraga di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Katanya sokongan daripada semua rakyat Malaysia menjadi pemangkin kepada kejayaan skuad olahraga untuk meraih keputusan yang lebih cemerlang berbanding pada penyertaan dalam Sukan SEA Singapura dua tahun lepas.

Di Singapura, pasukan olahraga negara meraih 3 pingat emas melalui Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi).

Pengurus pasukan olahraga negara bagi KL2017, Datuk Salim Parlan yang turut menyuarakan perkara sama, berkata skuad itu kini menumpukan kepada latihan dan tidak mahu diganggu agar dapat mengelakkan kecederaan.

“Jadi saya minta mereka tidak lagi diganggu dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan prestasi mereka.

“Kami tidak mahu gangguan sebaliknya kami mahukan sokongan daripada rakyat Malaysia. Sorakan mereka mampu bagi semangat kepada atlet,” katanya.

Salim juga mengajak rakyat Malaysia bersama-sama untuk memenuhkan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi sorakan dan sokongan kepada skuad olahraga yang akan memulakan acara pertama mereka pada 19 Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.