Tak malu dituduh rasuah punca ‘bangsa bangsat’, kata Dr M

Tak malu dituduh rasuah punca ‘bangsa bangsat’, kata Dr M

Bekas perdana menteri menyatakan kekesalan dengan sikap tidak ambil kisah walaupun negara dituduh 'kleptokrasi'.

mahathir
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan pemimpin kerajaan tidak malu dengan persepsi antarabangsa mengenai pentadbiran negara.

“Dunia panggil mereka pencuri, perasuah, penyangak – tak apa. Senyum sahaja,” kata bekas perdana menteri dan pengerusi Pakatan Harapan itu dalam penulisan blognya hari ini.

“Kerana perbuatan mereka, negara dihina, dinyatakan sebagai antara sepuluh buah negara yang tertinggi tahap rasuahnya – pun tak mengapa.”

Beliau berkata panggilan “kleptokrasi”, atau negara yang dipimpin oleh pencuri, juga tidak mengundang respon kuat daripada kerajaan.

Istilah itu digunakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dalam permohonannya merampas aset dan hartanah mewah yang didakwa dibeli menggunakan wang dilarikan daripada 1MDB.

“Tak ada sedikit pun malu walaupun tak dapat bertindak dengan saman malu ke atas yang menuduh. Ugut untuk ambil tindakan undang-undang tetapi tidak buat apa-apa, tak malu,” kata Dr Mahathir.

Walaupun tidak membutirkan kes yang dimaksudkannya, beliau dipercayai meneruskan serangannya terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam isu melibatkan 1MDB.

Dr Mahathir berkata sikap tidak menitik beratkan rasuah dan kesalahan menyebabkan sesuatu bangsa “menjadi bangsat di negara sendiri”.

“Tak lama lagi bangsa bangsat ini kehilangan negara, menjadi penumpang di negara sendiri, anak cucu jadi kuli,” tambahnya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.