2 beradik rakyat asing hidap batuk kokol di Sabah

2 beradik rakyat asing hidap batuk kokol di Sabah

Batuk kokol boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia namun bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap adalah golongan paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.

noor-hisham-batuk
KUALA LUMPUR: Dua kes batuk kokol (pertussis) yang dilaporkan di Sabah melibatkan 2 adik-beradik bukan warga Malaysia yang tidak pernah mendapatkan imunisasi penyakit itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pesakit masing-masing berusia 2 tahun 7 bulan dan 11 bulan.

“Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Keningau dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata orang ramai tidak perlu khuatir kerana kejadian di Sabah itu adalah kes terpencil.

“Jabatan Kesihatan Negeri telah meningkatkan aktiviti pencegahan dan kawalan di lapangan melalui pencarian kes di kawasan tempat tinggal kes dan pemberian imunisasi pertussis kepada kanak-kanak yang cicir imunisasi,” katanya.

Menurutnya, pertussis adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan bakteria Bordetella pertussis dan disebarkan melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk dan menjangkiti mulut, hidung serta tekak.

Ia boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia namun bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap adalah golongan paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Pesakit lazimnya mengalami batuk berpanjangan yang boleh berlarutan sehingga 2 bulan sehingga menyebabkan pesakit menjadi kebiruan kerana tidak sempat bernafas dan boleh mengakibatkan sawan kerana bekalan oksigen ke otak berkurangan.

Ia boleh membawa kepada komplikasi teruk seperti radang paru-paru, radang otak malah kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.