
Bekas ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman ketika mengulas tindakan Pemuda Umno dan Perkasa mempersoalkan pemilikan itu berkata: “Dia rakyat Malaysia. Itu yang penting.
“Kenapa mereka (Pemuda Umno dan Perkasa) nak kecoh? Mengikut dasar kerajaan, selagi ia dimiliki rakyat Malaysia, ia tidak menjadi masalah tidak kira dia Melayu, Cina atau India.
“Dia rakyat Malaysia, kan? Jadi, tidak ada isu,” katanya ketika dihubungi FMT.
FMT turut menghubungi Chandran, tetapi beliau tidak memberi sebarang respons.
Pemuda Umno dan Perkasa yang mempersoalkan pemilikan Malindo Air, mahu penjelasan mengenai pengambilalihan 46% kepentingan syarikat tersebut oleh pasangan itu.
Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz dilaporkan berkata, perkara ini tidak terkandung dalam perjanjian awal semasa syarikat penerbangan itu mula ditubuhkan.
Menurut laporan terdahulu, Chandran menjadi pemegang saham majoriti dalam syarikat penerbangan tersebut selepas syarikat Bumiputera, Nasional Aeroscape Defence Industries (Nadi) secara drastik mengurangkan kepentingannya dalam Malindo daripada 50% kepada 5%.
Malindo memulakan operasinya melalui usaha sama Nadi dan Lion Group Indonesia.