PSM kata kadar caruman SIP ‘berpatutan’

PSM kata kadar caruman SIP ‘berpatutan’

A Sivarajan berkata wakil rakyat sepatutnya mendesak lebih banyak manfaat dari Skim Insurans Pekerjaan untuk pekerja daripada risau mengenai kos kepada majikan.

A-Sivarajan-workers2
PETALING JAYA: Setiausaha Agung PSM A Sivarajan menyifatkan kebimbangan yang ditimbulkan mengenai Skim Insurans Pekerjaan (SIP) sekadar permainan angka kerana caruman untuk skim itu masih “berpatutan”.

Menjawab Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, yang berpandangan SIP akhirnya akan membebankan pekerja dan majikan kerana kadar caruman tinggi, Sivarajan membentangkan angkan untuk membuktikan hujahnya.

Menurut SIP, beliau berkata seorang pekerja yang hilang pekerjaan boleh memohon elaun mencari pekerjaan atau elaun pengambilan semula, elaun pendapatan berkurangan dan elaun latihan.

Mengambil contoh seorang individu berpendapatan RM2,000 sebulan, beliau berkata pekerja itu akan menerima elaun selama 6 bulan seperti berikut: 80% dari gaji akhir pada bulan pertama, 50% pada bulan kedua, 40% pada bulan ketiga dan keempat, dan 30% pada bulan kelima dan keenam.

“Oleh itu jika pekerja tersebut memperoleh RM2,000, dia akan menerima RM1,600 (bulan pertama) + RM1,000 (bulan kedua) + RM800 x 2 (bulan ketiga dan keempat) + RM600 x 2 (bulan kelima dan keenam), iaitu keseluruhannya berjumlah RM5,400.

“Pekerja itu juga berhak menjalani latihan selama 6 bulan. Tabung SIP akan membayar terus kepada penyedia latihan. Mari kita anggarkan jumlah keseluruhan yuran itu RM10,000 selama 6 bulan.

“Oleh itu jumlah keseluruhan manfaat yang akan diterima pekerja itu ialah RM15,400.”

Sivarajan berkata menurut statistik Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), kira-kira 50,000 pekerja hilang pekerjaan pada 2016.

Berdasarkan angka tersebut, beliau berkata jumlah keseluruhan pembayaran akan menjadi RM770 juta (RM15,400 x 50,000)

Apabila menambah 30% untuk anggaran kos operasi memproses permohonan dan pengagihan kepada pekerja yang layak, jumlah keseluruhan akan menjadi RM1 bilion, tidak jauh daripada RM1.56 bilion yang Santiago anggarkan.

Memetik statistik dari Kementerian Sumber Manusia, Sivarajan menambah sepertiga dari keseluruhan pekerja yang dibuang kerja menderita apabila majikan menggulung perniagaan.

Sekiranya sepertiga itu, atau 16,000 pekerja, menerima pampasan pemberhentian pekerja, yang dianggarkan RM20,000 setiap seorang bagi pekerja yang dibuang kerja selepas 20 tahun berkhidmat, ia akan mencecah RM320 juta.

“Jadi ia masih berpatutan,” katanya, merujuk kepada jumlah RM1.32 bilion.

Sivarajan bersetuju dengan Santiago yang caruman perlu digunakan secara cermat tanpa pembaziran.

Bagaimanapun, beliau menambah Santiago dan ahli Parlimen lain harus mendesak dan memperjuangkan lebih banyak manfaat daripada tabung itu untuk pekerja, daripada mengadu mengenai kemungkinan kenaikan kos untuk majikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.