‘Kutty’ dan ‘mamak’ ceriakan Dewan Rakyat

‘Kutty’ dan ‘mamak’ ceriakan Dewan Rakyat

Nama keluarga India yang terkenal mencuri tumpuan Parlimen hari ini disebabkan 2 pemimpin Umno berketurunan India Muslim.

Azeez-Abdul-Rahim_reezal-meric_600
KUALA LUMPUR: Nama keluarga India “Kutty” mencuri tumpuan Dewan Rakyat hari ini selepas 2 ahli Parlimen BN berlatar belakang India Muslim menjawab soalan pembangkang tentang penglibatan Malaysia dalam penghantaran makanan kepada etnik Rohingya beragama Islam di Myanmar, baru-baru ini.

Ia bermula selepas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim memuji Umno dan PAS menyertai flotilla menghantar 2,000 tan makanan kepada Rohingya yang tinggal berhampiran sempadan Myanmar-Bangladesh, dan mencabar Pakatan Harapan melakukan perkara sama.

“Permatang Pauh, kita perlu laksana apa dijanjikan. Selepas ini, saya minta Pakatan Harapan, Kutty tak Kutty semua sekali kita pergilah,” katanya sambil berkata masing-masing 100 ahli Umno dan PAS menyertai misi itu.

Nama “Kutty” menjadi topik hangat baru-baru ini selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa ia adalah nama bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Zahid berkata, butiran itu diberi kepadanya oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dakwaan itu mencetuskan sentimen perkauman dan desakan untuk menyiasat JPN di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican kemudian bangun memberi respons kepada Azeez dengan berkata: “Panjang sungguh soalan dia. Macamlah kalau mamak yang tanya soalan, yang nak jawab pun sama mamak,” katanya merujuk perkataan popular untuk masyarakat India Muslim tempatan.

“Yang nak jawab ini kasta tinggi sikit,” katanya disusuli gelak tawa ahli Parlimen lain.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) meminta kerajaan menyatakan hasil penghantaran flotilla ke Myanmar pada 3 Februari lalu dan sama ada Putrajaya bercadang memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.