
Hee memohon pengisytiharan mahkamah supaya keputusan Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak soalan berkaitan 1MDB pada 21 Julai adalah batal dan tidak sah.
Soalan Hee adalah mengenai sama ada kerajaan membuat sebarang bantahan terhadap Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat dalam usahanya merampas beberapa aset mewah berkait wang yang didakwa dilarikan daripada 1MDB, di samping soalan mengenai status kerakyatan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikaitkan dengan skandal syarikat milik Kementerian Kewangan itu.
“Saya menerima surat daripada setiausaha Dewan Rakyat (Roosme Hamzah) pada 21 Julai yang menolak soalan saya.
“Cara mereka menolak soalan saya dan alasan penolakan itu tidak masuk akal,” katanya kepada pemberita selepas memfailkan tuntutan mahkamah di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi.
Seorang lagi Ahli Parlimen PKR, N Surendran berkata Hee merupakan wakil rakyat pertama mengambil tindakan undang-undang terhadap Pandikar kerana menolak soalan di Parlimen.
Surendran yang juga seorang peguam berkata apa jua keputusan mahkamah akan “mengikat” ahli Parlimen lain untuk mengambil tindakan yang sama terhadap Speaker pada masa akan datang.
Minggu lalu, Pandikar berkata beliau membenarkan 19 soalan berkait 1MDB dibangkitkan di Parlimen, dan menolak dakwaan pembangkang yang beliau sewenang-wenangnya menolak 30 soalan.