Bila proses timbangtara Unisel-Jana Niaga dilakukan, soal Rizal Mansor

Bila proses timbangtara Unisel-Jana Niaga dilakukan, soal Rizal Mansor

Rizal turut mempersoalkan siapakah pihak yang terlibat dalam proses timbangtara yang dinyatakan oleh MBI Selangor.

rizal-mansor-unisel-mbi
PETALING JAYA: Datuk Rizal Mansor menggesa Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Selangor menjawab bilakah proses timbangtara dengan bekas kontraktor Universiti Selangor (Unisel) dilakukan, selepas MBI Selangor menyatakan terdapat proses timbangtara untuk menyelesaikan pertikaian mengenai pembayaran kepada syarikat itu.

Pegawai khas kepada perdana menteri itu juga meminta MBI Selangor menyatakan siapakah pihak yang terlibat dalam timbangtara tersebut.

Ini kerana menurut Rizal, Unisel tidak bersetuju dengan terma yang dicadangkan MBI dan bayaran pendahuluan RM10 juta kepada Jana Niaga, merujuk kepada laporan portal Selangor-Leaks.

“Walaupun bayaran ini dari pihak MBI, tetapi ianya dianggap sebagai hutang Unisel kepada MBI. Bayaran ini juga dibuat sebelum apa-apa proses dimuktamadkan.

“Mengapa MBI telah bertindak untuk membayar Jana Niaga sebelum sebarang syarat baru ataupun pertikian ini diselesaikan?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam MBI Selangor mengancam tindakan undang-undang terhadap mereka yang menuduhnya melakukan rasuah berhubung pembayaran kepada Jana Niaga Sdn Bhd.

Menurut MBI Selangor, dakwaan mengatakan MBI pernah membuat bayaran kepada Jana Niaga walaupun kontraktor itu mengingkari perjanjian dan gagal dalam tuntutan menuntut tunggakan bayaran adalah tidak benar, lapor Malaysiakini.

Menurut laporan itu, MBI Selangor nafi membuat bayaran RM60 juta kepada Jana Niaga, dan mahkamah tidak pernah memutuskan syarikat mahupun Unisel berlaku salah.

“Pada Disember 2012 Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memutuskan bahawa Jana Niaga dan Unisel perlu menyelesaikan pertikaian mengikut proses timbang tara seperti yang diwajibkan di bawah kontrak kedua-dua pihak,” kata MBI Selangor.

Rizal bagaimanapun berkata MBI Selangor perlu menjelaskan persoalan yang ditimbulkan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat Selangor khususnya pelajar universiti itu.

“Melalui pendedahan di Selangor-Leaks, pendapat undang-undang dari firma Raj, Ong dan Yudistra menyatakan bahawa MBI Selangor telah cuba untuk menyelesaikan perkara-perkara ini mewakili pihak Unisel.

“Walaubagaimanapun, Unisel tidak bersetuju dengan terma-terma yang dicadangkan oleh MBI. Melalui pendedahan yang sama, Unisel juga tidak bersetuju dengan bayaran pendahuluan RM10 juta kepada Jana Niaga oleh MBI.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.