Singapura gali semula puluhan ribu kubur untuk pangkalan udara

Singapura gali semula puluhan ribu kubur untuk pangkalan udara

Pemindahan kubur yang sudah mencapai tempoh pengebumian minimum 15 tahun akan bermula September ini.

grave-singapura
PETALING JAYA: Kerajaan Singapura kini dalam usaha menggali semula puluhan ribu kubur Cina dan Islam di tanah perkuburan terbesar negara itu, bagi memberi laluan kepada perluasan Pangkalan Udara baharu di Tengah.

Menurut laporan Channel NewsAsia, Tanah Perkuburan Choa Chu Kang seluas 100 hektar itu memuatkan 80,000 kuburan di mana 35,000 ialah kubur orang Islam manakala 45,500 lagi ialah kubur orang Cina.

Tanah bagi ladang ternakan ikan dan tapak semaian di Ladang Murai juga turut termasuk dalam kawasan pembinaan pangkalan udara baharu itu.

Kementerian Pembangunan Negara, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) dalam kenyataan bersama semalam berkata, tanah tambahan seluas kira-kira 106 hektar diperlukan untuk menampung beberapa aset dan kemudahan dari Pangkalan Udara Paya Lebar yang akan dipindahkan ke pangkalan baharu itu pada 2030.

Pihak berkuasa Singapura berkata daripada 80,000 kubur itu, tuntutan dan pendaftaran untuk memindahkan 45,000 kubur Cina dan 5,000 kubur Islam yang sudah mencapai tempoh pengebumian minimum 15 tahun, akan bermula September ini.

“Notis gali semula untuk baki 500 kubur Cina dan 30,000 kubur Islam akan dikeluarkan selepas ia cukup tempoh pengebumian 15 tahun. Kubur Islam yang digali semula akan ditempatkan di tanah perkuburan lain,” kata pihak berkuasa.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada perhimpunan Hari Kebangsaan 2013 mengumumkan Pangkalan Udara Paya Lebar akan dipindahkan untuk mengosongkan tanah seluas 800 hektar tersebut yang dijangka akan dibangunkan rumah, pejabat, kilang dan taman.

“Kerja pembangunan dijangka bermula pada 2019 dalam beberapa fasa. Pampasan akan dibayar berdasarkan nilai pasaran tanah pada tarikh ia diperolehi.”

Dalam pelan membangunkan itu, kerajaan “mempertimbangkan semua alternatif dengan mengambil kira keperluan pertahanan dan keselamatan negara serta faedah keseluruhan” untuk memindahkan Pangkalan Udara Paya Lebar dalam jangka panjang.

“Agensi kerajaan seboleh-bolehnya berusaha untuk meminimumkan kesan kerja ini dan pihak berkepentingan yang terjejas akan diberikan notis awal untuk mengatur rancangan alternatif,” kata pihak berkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.