1 dalam 3 pelajar universiti tak kisah rasuah, menurut kajian

1 dalam 3 pelajar universiti tak kisah rasuah, menurut kajian

Hasil kajian mendapati mahasiswa sebagai pemimpin masa depan tidak meletakkan kesalahan terhadap perkara umum yang dikenali sebagai rasuah.

Anis-Yusal-Yusoff-pelajar-rasuah
PETALING JAYA: Hasil kajian Institut Integriti Malaysia (Integriti) baru-baru ini mendapati generasi muda, khususnya mahasiswa masih cetek pengetahuan mereka mengenai rasuah, malah sepertiga daripada mereka tidak menganggap perbuatan memberi “hadiah” sebagai kesalahan.

Presiden Integriti, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata ia membimbangkan dan menunjukkan perlunya penilaian semula pendidikan.

“Kita khuatir mahasiswa yang mempunyai pandangan seperti hasil kajian itu terpengaruh dengan ‘role model’ yang salah,” katanya.

Kajian melibatkan 402 pelajar melibatkan 33.1% dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia (47.5%), Universiti Teknologi MARA (15.9%) dan selebihnya dari universiti lain, mendapati golongan ini tidak menganggap beberapa perkara umum yang dikenali sebagai rasuah sebagai kesalahan.

Ia dijalankan untuk menilai persepsi dan kefahaman mahasiswa masa kini mengenai rasuah di Malaysia sebagai usaha memahami pemikiran generasi pemimpin akan datang.

Kajian itu mendapati 35.8% responden menyatakan perbuatan penerimaan hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberikan bukan kesalahan rasuah.

Sementara itu, 28.1% lagi menganggap tidak salah mengambil harta atau barangan pejabat seperti “thumb drive” dan dakwat mesin pencetak, alat tulis dan lain-lain untuk kegunaan peribadi.

Sebanyak 37.3% pula beranggapan tuntutan palsu bagi tugas luar adalah tidak salah, contohnya mengemukakan bil penginapan walaupun pihak penganjur sudah menyediakannya.

Anis berkata, 20.6% responden tidak melihat isu untuk seseorang terlibat dalam proses pelantikan ahli keluarga untuk mengisi jawatan kosong di sesebuah jabatan.

Menurutnya, hasil kajian itu jika dijadikan kayu ukur, memerlukan semakan semula nilai dan apa yang disemai di kalangan mereka.

“Mereka seperti orang yang berjaya melalui jalan yang salah,” katanya yang khuatir kerana golongan ini akan memasuki alam pekerjaan, seterusnya menjadi pemimpin.

Beliau mempersoalkan bagaimana hasil kajian dari golongan bukan mahasiswa, jika hasil kajian daripada mereka yang terpelajar begitu mengecewakan.

“Penemuan hasil kajian ini tidak harus dipandang remeh dan perlu diberi perhatian sewajarnya,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.