Virus rabies di Serian dan Kalimantan sama

Virus rabies di Serian dan Kalimantan sama

Ketua pengarah kesihatan berkata, kes jangkitan rabies di Serian, Kalimantan dan Sulawesi mempunyai persamaan jujukan genom tertinggi.

Noor-Hisham-Abdullah-rabies-sarawak
KUCHING: Kes jangkitan rabies atau anjing gila di Serian mempunyai persamaan jujukan genom strain virus yang berasal dari Kalimantan dan Sulawesi, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, keputusan itu diperoleh daripada Unit Virologi Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) yang turut menunjukkan kaitan epidemiologi yang rapat antara kes jangkitan rabies di Serian dan kes di Kalimantan.

“Unit Virologi di IMR menjalankan penjujukan DNA virus rabies yang diasingkan daripada kes rabies di Serian.

“Hasil menunjukkan virus tersebut mempunyai persamaan jujukan genom paling tinggi dengan jujukan genom strain virus rabies yang berasal dari Kalimantan dan Sulawesi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Pejabat Kesihatan Serian dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak melaksanakan Pengesanan Kes Aktif bagi mengesan kes gigitan anjing di kawasan kejadian wabak rabies di Serian.

Dr Hisham berkata, aktiviti itu dilaksanakan di 136 penempatan melibatkan 9,830 rumah dengan 37,285 orang ditemu duga berhubung sejarah gigitan anjing.

“Sebanyak 368 kes gigitan haiwan dikesan di kawasan wabak daerah Serian dan diberikan rawatan.

“Aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan rabies juga diberi kepada penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

Menteri: Rabies mungkin disebar anjing liar dari Kalimantan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.