Tender MRT paling telus, kata Najib

Tender MRT paling telus, kata Najib

Perdana menteri berkata beliau diberitahu kemudahan MRT di Malaysia lebih baik berbanding London, New York dan Hong Kong, serta setara dengan Singapura.

Najib-MRT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini menyifatkan tender bagi projek MRT, yang dianggarkan memakan perbelanjaan sehingga RM100 bilion apabila siap sepenuhnya, sebagai contoh terbaik pemberian kontrak diamalkan kerajaan.

Beliau berkata, ia dapat dilihat melalui penjimatan kos pembinaan serta penyiapan yang lebih awal daripada jadual.

“Tiada sistem yang lebih telus berbanding sistem penawaran yang dibuat MRT.

“Kos asalnya adalah RM23 bilion tetapi pelaksanaan projek dapat siap dengan kos RM21 bilion,” katanya ketika berucap melancarkan MRT fasa ke-2 Sungai Buloh-Kajang di stesen MRT Tun Razak Exchange hari ini.

Beliau menyatakan rasa gembira apabila projek itu dapat dilancarkan hari ini, 2 minggu sebelum tarikh sasaran pada akhir bulan ini.

“Kita telah kotakan janji kita,” katanya.

MRT Sungai Buloh-Kajang melibatkan 31 stesen dan mula beroperasi secara percuma pada 4 petang hari ini. Fasa pertama MRT (Sungai Buloh-Semantan) dibuka 16 Disember lalu.

Najib turut memuji penyertaan kontraktor Bumiputera yang mencapai 50% nilai kontrak projek MRT.

“Apabila kita melaksanakan agenda bumiputera, ia tidak mengganggu pelaksanaan projek. Dengan syarat, ia diberikan kepada yang layak dan bukannya kroni.”

Katanya, syarikat bumiputera yang terlibat adalah mereka yang mempunyai prestasi teknikal dan memberi tawaran harga terbaik ketika tender.

Malah Najib menceritakan komen yang diterimanya, mengatakan MRT di Malaysia lebih baik daripada negara maju lain.

“Apabila saya tanya (individu itu), beliau berkata ia lebih baik daripada di London, New York dan Hong Kong, serta setara dengan Singapura,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.