PAS Kedah akan bincang sebat di khalayak jadi manifesto PRU14

PAS Kedah akan bincang sebat di khalayak jadi manifesto PRU14

Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, Jawatankuasa Manifesto Pilihan Raya PAS akan mengkaji jika hukuman sebat di khalayak ramai sesuai dilaksanakan di Kedah.

Ahmad-Fakhruddin-Syeikh-Fakhrurazi_hudud_600
PETALING JAYA:
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, keputusan menjadikan hukuman sebat di khalayak ramai sebagai manifesto pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan ditentukan selepas kajian Jawatankuasa Manifesto Pilihan Raya parti itu.

Beliau dipetik China Press sebagai berkata, jawatankuasa itu akan menjalankan kajian untuk menentukan jika hukuman sebat di khalayak ramai sesuai dilaksanakan di Kedah.

Beliau juga berharap pihak luar menghormati keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan rang undang-undang Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat dilakukan di khalayak ramai.

Rabu lalu, DUN Kelantan sebulat suara meluluskan RUU itu yang turut memberi kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama menggari suspek jenayah syariah dan menggunakan rakaman video sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Dalam perkembangan lain, Fakhruddin berkata, PAS Kedah akan bertanding di 36 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen negeri itu pada PRU14.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) untuk bertanding di kerusi bermajoriti pengundi Cina yang berpeluang dimenangi parti itu.

“PAS hanya akan berbincang soal pembahagian kerusi dengan parti yang ingin menjalin kerjasama dengannya,” katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri PAS hari ini.

Katanya, keputusan muktamad mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi parti itu tertakluk kepada kehendak PAS pusat.

Pada PRU13, PAS memenangi 9 daripada 24 kerusi DUN dan 1 daripada 8 kerusi Parlimen yang ditandinginya.

Kelantan lulus rang undang-undang sebat di khalayak ramai

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.