
Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, ketika ini masih tiada undang-undang di Perak yang membenarkan hukuman sebat dilakukan di khalayak umum.
“Memang saya setuju (jika hukuman sebatan dilakukan di Perak). Ia adalah hukum syarak dan hukuman itu memang dilakukan di khalayak ramai dengan tujuan untuk memalukan.
“Mengikut hukum asal, apabila seseorang itu disebat, ia akan dibuang negeri atau daerah selama 2 tahun. Setelah itu, bila dia balik ke negeri semula selepas 2 tahun, orang sudah lupa perkara berkenaan,” katanya kepada FMT, hari ini.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Rabu meluluskan rang undang-undang Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lain membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.
Ia juga memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama untuk menggunakan gari ke atas suspek jenayah syariah, dan membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.
Harussani turut meminta supaya orang bukan Islam tidak mencampuri urusan agama Islam memandangkan penganut Islam sendiri tidak mencampuri urusan agama lain.
Sifatkan sebagai pandangan peribadi, Harussani turut berharap agar negeri-negeri lain mengikuti perlaksanaan serupa seperti dilakukan di Kelantan.
“Kenapa bergantung kepada orang bukan Islam dalam lakukan keputusan hukum syarak. Ini adalah hukum syarak, bukannya kita sebat orang bukan Islam. Ia tidak ada kena mengena dengan mereka.
“Dia orang tidak patut masuk campur urusan kita. Kita juga tidak campur urusan mereka seperti sambutan Thaipusam.
“Sambutan itu sangat bertentangan dengan hukum syarak. Tetapi kita tidak pula bantah. Kenapa orang hendak masuk campur urusan kita pula,” katanya lagi.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ia diluluskan sebagai persiapan untuk melaksanakan rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau RUU 355, jika ia diluluskan di Parlimen kelak.
Ciri utama pindaan yang diusulkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu adalah meningkatkan hukuman maksimum untuk pesalah syariah, daripada 3 tahun penjara kepada 30 tahun, denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan rotan kepada RM100,000.
Nazri: Sebat di Kelantan, pelancong asing boleh ke tempat lain