Rangka manusia dipercayai milik warga emas hilang 36 hari

Rangka manusia dipercayai milik warga emas hilang 36 hari

Penemuan rangka manusia dan pakaian itu menyebabkan polis percaya lelaki berusia 68 tahun yang dilaporkan hilang pada 6 Jun lalu, tidak diserang buaya.

skeleton_1
KOTA MARUDU:
Polis percaya rangka manusia yang ditemui di kawasan bakau Sungai Kampar, di Kampung Mangkupa, milik seorang warga emas bernama Yanting Baran yang hilang lebih sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Mohd Izaan Abdullah memberitahu FMT, seorang penduduk yang sedang mencari kayu di kawasan itu menemui tulang manusia dan pakaian, Selasa lalu.

Izaan berkata, ahli keluarga lelaki berusia 68 tahun itu mengesahkan seluar yang ditemui di kawasan tersebut milik Yanting.

Rangka itu dijumpai kira-kira 2km dari kawasan bakau, lokasi lelaki itu dilaporkan hilang pada 6 Jun lalu.

Sepasukan anggota dari ibu pejabat polis daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela serta penduduk kampung pergi ke kawasan itu untuk menyiasat.

“Rangka itu ditemui agak jauh dari tebing sungai, oleh itu kami percaya Yanting tidak diserang buaya,” kata Izaan.

Pasukan penyelamat melaporkan ternampak buaya di paya bakau itu semasa operasi mencari Yanting dijalankan.

“Kami mengambil gambar semua tulang dan pakaian yang dijumpai dan menghantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk pemeriksaan yang diharap dapat memberi hasil konklusif.

“Ujian DNA akan dilakukan untuk mengenal pasti sama ada tulang yang ditemui itu milik Yanting,” katanya sambil menambah polis percaya tiada unsur jenayah dalam kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.