
Presiden Datuk Ibrahim Ali berkata langkah itu bagi menghalang kementerian menguatkuasakan kelonggaran syarat lulus bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Perkasa memberi tempoh 7 hari bermula hari ini sebelum memfailkan tindakan saman di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan sebarang dasar yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Perkasa sudah buat pendirian apa saja isu yang membabitkan kepentingan negara dan lebih khusus perkara yang berkaitan dengan Perlembagaan dan undang-undang seperti Fasal 153 yang jelas menyebut Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, raja-raja Melayu, hak keistimewaan Melayu.
“Mana-mana pihak termasuk kerajaan jika pada pandangan kita bertentangan dengan asas Perlembagaan negara dan fasal yang saya sebutkan tadi kita akan pergi ke mahkamah,” katanya pada dalam sidang medianya di ibu pejabat Perkasa hari ini.
Pada 2 Julai lalu, kementerian kesihatan melonggarkan syarat lulus bahasa kebangsaan untuk pekerja perubatan lantikan kontrak, iaitu pelatih perubatan.
Ia untuk membolehkan graduan perubatan yang tidak lulus BM peringkat SPM berkhidmat dan memperoleh sijil penuh pegawai perubatan.
Keesokannya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata akan meminta 2 menteri – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam – memberi penjelasan berhubung perkara itu esok.
Pengumuman itu mencetuskan polemik, dengan pihak yang menyokongnya seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyifatkan langkah itu mampu mengelakkan negara hilang kepakaran ratusan graduan perubatan setiap tahun.
Pakatan Harapan pula berkata setiap pegawai perubatan perlu fasih bahasa kebangsaan sebagai bahasa bersama rakyat Malaysia.
Sementara itu, Ibrahim mempersoalkan tindakan Subramaniam yang tidak membawa perkara itu ke pengetahuan jemaah menteri
“Saya tak faham satu perkara, apabila TPM mengatakan dia minta menteri berkenaan bawa ke Kabinet. Jadi, apakah perkara-perkara seumpama ini sebelum dibuat keputusan tidak dibawa ke Kabinet?
“Ini perkara berkaitan dengan Perlembagaan…sekarang bila dah jadi isu baru nak dibawa ke Kabinet. Apakah sebelum ini Kabinet tak bincang? Apakah kementerian dan Jabatan Perkhidmatan Awam tak bawa perkara ini ke Kabinet?” katanya.