
Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata bahasa bersama yang digunakan rakyat di Malaysia masih BM, maka kepentingan bahasa kebangsaan itu tidak perlu dipertikaikan.
“Pemuda PH terbuka untuk bertemu dengan para doktor muda untuk melihat bagaimana isu ini boleh diselesaikan,” katanya di ibu pejabat PKR hari ini.
Parti itu berkata kerajaan perlu menawarkan penilaian alternatif kepada graduan perubatan bagi mengelakkan kesulitan di masa depan.
Mengambil United Kingdom sebagai contoh, Nik Nazmi berkata sekurang-kurangnya perubahan kecil perlu dilakukan pada dasar awam bagi memenuhi keperluan penggunaan BM sebagai bahasa kebangsaan seperti Sistem Ujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS).
Ujian IELTS pra-syarat untuk pelajar asing yang mahu melanjutkan pengajian di UK.
“Kita perlu mencari jalan untuk membantu mereka dan mengiktiraf kebolehan mereka berkhidmat untuk negara,” katanya.
Baru-baru ini, lebih 300 graduan perubatan dari institusi swasta dan menunggu penempatan latihannya diberitahu mereka perlu mendapatkan sijil Bahasa Melayu peringkat SPM jika mahu jawatan tetap dalam kerajaan.
Menurut emel Jabatan Perkhidmatan Awam, bermula 1 Oktober tahun lepas, pelantikan pelatih gred UD-41 akan dilakukan secara kontrak.
Pada 2 Julai, kementerian kesihatan mengumumkan kelonggaran syarat lulus bahasa kebangsaan untuk pekerja perubatan lantikan kontrak, iaitu pelatih perubatan.
Ia bagi membolehkan graduan perubatan yang tidak lulus BM peringkat SPM berkhidmat dan membolehkan mereka memperoleh sijil penuh pegawai perubatan.
JPA berkata calon yang mahu memohon jawatan tetap perlu lulus BM peringkat SPM.
Dalam isu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyokong penuh pengiktirafan itu selagi ia tidak bercanggahan dengan penggunaan BM sebagai bahasa kebangsaan.
“Pemuda PH sepakat berpendirian UEC perlu diiktiraf.
“Kami akan bangkitkan isu ini di peringkat majlis presiden dan mereka akan kemukakan pelan dasar terperinci mengenai pelaksanaannya,” kata Syed Saddiq.
UEC merupakan ujian standard di sekolah swasta Cina di Malaysia. Ia diiktiraf di seluruh dunia, termasuk Universiti Oxford, kecuali Malaysia.
UEC menjadi pertikaian terutamanya ketika pilihan raya kerana ia digunakan parti politik untuk kepentingan politik.
Penyokong UEC berkata Malaysia akan kerugian jika tidak mengiktiraf sijil itu, manakala pengkritik berkata ia tidak selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Syed Saddiq berkata langkah ke depan ialah berkompromi, dengan mencari penyelesaian dasar awam yang selaras dengan dasar itu tetapi dalam masa yang sama tidak menafikan pemegang sijil UEC peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam negara.
“Ribuan intelektual Malaysia meninggalkan negara ini kerana mereka tidak diberi peluang secukupnya kerana kegagalan kita mengiktiraf UEC, yang hanya merugikan Malaysia,” kata Syed Saddiq.