
“Mungkin saya harus mengucapkan tahniah kepada Najib kerana berjaya mencari seorang ‘genius’ yang boleh berfikir sebuah negara, sebuah sistem politik atau sebuah parti politik boleh ada 2 orang ‘diktator’ – membuat pengertian mengarut mengenai maksud apa itu seorang diktator,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
Kit Siang menambah, setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad adalah seorang “genius” yang boleh menganggap sebuah negara boleh mempunyai 2 orang diktator.
“Hanya mereka yang tidak pintar yang boleh membayangkan 2 diktator untuk 1 negara, 1 sistem politik atau 1 parti politik,” kata Kit Siang.
Kata Kit Siang, beliau boleh meramalkan selepas ini pakar propaganda Umno akan menaikkan statusnya seolah-olah “tuan alam semesta’ dengan kuasa yang boleh mengarahkan kerajaan asing mencampuri urusan dalaman dan 1MDB untuk ‘menjatuhkan’ Najib dan partinya.
Ketua Parlimen DAP itu berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Tengku Sarifuffin malam tadi.
Dalam responsnya, Tengku Sariffuddin menasihatkan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong supaya memberi tumpuan bagi membetulkan kepincangan demokratik dalam partinya dan bukan sebaliknya menjaja berita palsu, memburuk-burukkan dan menyebarkan pembohongan mengenai kerajaan.
Beliau berkata, Chin Tong pada hakikatnya perlu lebih prihatin terhadap masalah serius yang dihadapi partinya kerana DAP tidak pasti sama ada ia akan dibenarkan untuk menggunakan logo roket pada pilihan raya umum akan datang kerana Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu tidak diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan.
“Ini kerana pemilihan parti DAP’ dikatakan dijalankan secara tidak demokratik dengan didalangi oleh Penang Official 1 dan bapanya mengekalkan pemerintahan diktator selama setengah abad ke atas DAP.
“Ini bermakna Setiausaha Agung DAP’, Penang Official 1 (Lim Guan Eng), tidak mempunyai kuasa untuk memberi apa-apa arahan dalam parti kerana beliau tidak diiktiraf secara sah.
“Malah, seluruh kepimpinan DAP terancam dan boleh diisytiharkan haram kerana didakwa melakukan manipulasi dalam pemilihan parti,” kata beliau.
Dalam kenyataan berasingan, Chin Tong mendakwa respons setiausaha akhbar perdana menteri dengan sendiri menunjukkan Najib akan melakukan apa sahaja termasuk membatalkan pendaftaran parti pembangkang itu untuk kekal berkuasa.
Sehubungan itu, Chin Tong berkata, sama ada Tengku Sariffuddin sedar yang beliau secara langsung mengesahkan dakwaan terhadap Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP tahun lalu, bermotif politik dengan tujuan mengalih perhatian daripada skandal Najib.
Hari ini, Kit Siang juga menafikan beliau cuba memanipulasi dan mengawal Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam hal ehwal pembangkang.
Kedua-dua DAP dan PPBM merupakan anggota gabungan Pakatan Harapan.
“Saya telah meletak jawatan sebagai setiausaha agung DAP pada tahun 1999 dan kemudian berundur sebagai pengerusi DAP pada tahun 2004,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.
“Mungkin penyokong Najib boleh menjelaskan bagaimana saya boleh menjadi diktator DAP selepas berundur dari kepimpinan parti sejak 13 tahun yang lalu,” kata beliau.
Kit Siang juga bertanya mengapa Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri dan presiden Umno selama 22 tahun tidak dapat meneruskan diri beliau sebagai “diktator” Umno sejak beliau bersara dari jawatan itu pada tahun 2003.
“Dan bagaimana saya dapat membuat Mahathir sebagai boneka saya, selaku jurupropaganda Umno, MCA dan Gerakan membuat tuduhan bertentangan bahawa saya menjadi boneka dan konco Mahathir? Yang mana satu? tambah beliau.