Majikan tunggu dan lihat, PATI gagal ‘diputihkan’

Majikan tunggu dan lihat, PATI gagal ‘diputihkan’

Malah, terdapat juga majikan yang sedia menghantar pulang pekerja asing tanpa izin mereka jika tidak mendapat E-Kad.

E-Kad_pekerja_6002
PUTRAJAYA: Rata-rata majikan mengakui dan menyesal dengan kesilapan mereka dalam urusan membuat permohonan kad sementara (E-Kad) pada saat-saat akhir untuk menghalalkan pendatang tanpa izin (PATI).

Kebanyakan majikan berkata pendekatan tunggu dan lihat yang diambil mereka telah menjerat diri mereka sendiri yang kini terpaksa berhadapan tindakan daripada pihak imigresen sekiranya permohonan mereka tidak diluluskan.

Seorang majikan, Wan Suhazeli Wan Ahmad, 38, yang berada di ibu pejabat Jabatan Imigresen sejak pukul 6 pagi mengakui kesilapannya hadir saat-saat akhir untuk mendaftarkan 36 orang pekerjanya yang berasal dari Bangladesh dan Indonesia.

Beliau yang menjalankan perkhidmatan di syarikat pembinaan di Selayang berkata, kesilapannya untuk melakukan permohonan secara berperingkat mengundang padah apabila 6 pekerjanya masih belum menerima E-Kad.

“Pendekatan saat akhir, tunggu dan lihat adalah isu sebenar. Kebanyakan majikan lihat dulu orang lain buat, baru nak buat.

“Bagi saya Imigresen dah bagi masa yang cukup. Kalau buat masa awal, bulan 2 dan 3 tidak ramai. Dalam setengah hari dah selesai untuk urusan membuat permohonan E-Kad,” katanya kepada FMT.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali meluahkan rasa kecewa apabila hanya 25% daripada sasaran 600,000 PATI membuat permohonan E-Kad.

Katanya, sehingga jam 8 pagi semalam, seramai 155,680 PATI mendaftar untuk E-kad dan majikan yang mendaftar seramai 26,957 dan E-Kad yang dikeluarkan sebanyak 140,746.

Jabatan Imigresen sudah banyak kali mengingatkan majikan dan pekerja sejak 15 Februari lalu supaya majikan mendaftarkan segera pekerja mereka untuk memperoleh E-Kad.

Program E-Kad yang dikeluarkan percuma bertujuan mendaftarkan dan membolehkan PATI mendapat permit kerja selepas melalui beberapa prosedur ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Jabatan Imigresen memulakan operasi besar-besaran menahan PATI malam tadi selepas tamat tempoh permohonan kad sementara atau E-Kad.

Majikan yang melindungi PATI boleh didakwa di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang membawa denda minimum RM10,000 atau penjara.

Seorang lagi majikan, Salwani Abd Syukur, 35 berkata, kelewatannya untuk memohon E-Kad untuk seorang pekerjanya dari Indonesia disebakan tidak tahu prosedur permohonan yang betul.

“Seminggu selepas bulan puasa baru saya tahu cara nak mohon. Saya pada mulanya tidak sangka pekerja saya layak dapat E-Kad sebab pasport bekerjanya telah tamat tempoh.

“Tetapi lepas cari ejen pekerja asing saya, baru dapat tahu dia layak dapat E-Kad,” katanya yang bekerja di kantin Sekolah Kebangsaan Klang Gate.

Begitu juga seorang lagi majikan, Umil Ulfah, 29, yang mengusahakan sebuah kedai runcit di Petaling Jaya yang mendakwa tidak tahu prosedur permohonan E-Kad punca kelewatannya.

Beliau yang menunggu sejak pukul 7 pagi berkata telah membuat permohonan sejak bulan Jun sehingga hari ini masih belum selesai.

“Setakat ini 6 orang pekerja asing dari Bangladesh dah dapat E-Kad. Tinggal lagi 7 lagi pekerja asing saya belum dapat E-Kad,” katanya.

Majikan sedia hantar pulang pekerja ke negara asal

Umil berkata, disebabkan kelewatannya juga, beliau sedia untuk menghantar balik pekerja asing mereka ke negara asal.

Katanya, tindakan itu bagi mengelakkan pekerjanya diambil tindakan oleh Jabatan Imigresen.

“Saya sedia hantar pulang 7 pekerja saya kembali ke negara asal jika mereka tidak dapat E-Kad,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja dari Indonesia yang hanya ingin dikenali Siti Aisyah, 38, berkata, kesilapan majikan lamanya tidak memohon E-Kad menyebabkannya akan dihantar balik ke negara asalnya.

“Saya baru 2 bulan kerja dengan majikan baru saya di sebuah restoran di Shah Alam. Jika tidak dapat E-kad hari ini, saya akan balik Indonesia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.