Isu DoJ: Pemuda Pakatan bidas Khairul Azwan

Isu DoJ: Pemuda Pakatan bidas Khairul Azwan

Pemuda Amanah menyifatkan Pemuda Umno sangat takut untuk bersuara terhadap kebrobrokan yang dilakukan oleh 1MDB sebaliknya sangat menjadi pengampu sehingga sanggup menipu serta mengelirukan rakyat.

Mohd-Sany-Hamzan_Khairul-Azwan-Harun_doj_600
PETALING JAYA:
Pemuda Pakatan Harapan menempelak kenyataan Pemuda Umno dengan mendakwa pergerakan itu cuba menakutkan rakyat kononnya Amerika Syarikat (AS) akan bercampur tangan dalam urusan Malaysia jika rakyat memenangkan barisan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang mengatakan mengundi Pakatan Harapan bermakna rakyat menyokong campur tangan entiti asing terhadap pentadbiran negara dan kemusnahan kedaulatan negara, sangat tidak bertanggungjawab dan lari daripada asas sebenar fakta kes tersebut.

Sany menegaskan, sebenarnya tidak berlaku sebarang campur tangan asing oleh AS, sebaliknya negara itu bertindak ke atas jenayah pengubahan wang haram yang berlaku di negara tersebut.

“Secara dasarnya, mana-mana negara sememangnya berhak mengenakan tindakan terhadap sesiapa yang telah melanggar undang-undang negara mereka seperti yang dilakukan oleh syarikat pelaburan 1MDB,” kata beliau menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sany berkata, pihaknya menyifatkan Pemuda Umno sangat takut untuk bersuara terhadap kebrobrokan yang dilakukan oleh 1MDB sebaliknya sangat menjadi pengampu sehingga sanggup menipu serta mengelirukan rakyat.

Sebagai entiti orang muda, kata beliau, Pemuda Umno perlu berani menyuarakan bantahan terhadap skandal terbesar negara yang telah menjejaskan dana negara serta merosakkan imej Malaysia.

“Pemuda Amanah menasihatkan Pemuda Umno agar jangan cuba membodohkan serta merendahkan tahap pemikiran rakyat dengan memainkan sentimen serta persepsi jahat.

“Kami yakin rakyat tidak mudah terpedaya dengan dakyah Umno-BN yang cuba menutup isu tersebut demi terus mengekalkan kuasa mereka.”

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda DAP, Farhan Haziq Mohamed mengingatkan kepimpinan Pemuda Umno yang pihaknya tidak boleh hanya berdiam diri dalam isu berkaitan 1MDB dan membiarkan pentadbiran kleptokrasi bermaharajalela.

Katanya, menjadi tanggungjawab pihaknya mendedahkan butiran saman Jabatan Kehakiman (DoJ) kepada rakyat Malaysia untuk mereka mengetahui status terkini siasatan terhadap individu penting yang terlibat secara langsung ke atas 1MDB termasuk Malaysian Official 1 (MO1).

“Saya yakin beliau juga tahu skandal 1MDB sukar untuk disorokkan bak kata pepatah bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru dan pimpinan Umno-BN kini nampak cukup terdesak untuk mengheret semangat patriotism rakyat dan sentimen kenegaraan untuk menutup skandal 1MDB ini.”

Kata Farhan, beliau mahu Khairul bangkit ke hadapan untuk mendesak laporan audit 1MDB dihebahkan kepada umum dan menuntut kes 1MDB disiasat kembali jika benar beliau serius terhadap integriti pemimpin kesayangan beliau.

Nampaknya kata beliau, barisan Pemuda Umno telah bersuara mempertahankan skandal 1MDB apabila Khairul mendakwa undi kepada Pakatan Harapan adalah undi kepada campurtangan asing dalam skandal 1MDB.

Katanya, kenyataan beliau itu agak memeranjatkan kerana dengan dangkalnya menyatakan tidak mustahil Pakatan Harapan akan melantik Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch sebagai menjadi peguam negara manakala bekas Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), James Comey dijadikan ketua polis negara.

Malah kata Farhan, dakwaan Khairul itu jelas bercanggah dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak pada 21 Julai 2016 yang menyatakan saman DoJ bukanlah 1 konspirasi terhadap Datuk Seri Najib Razak tetapi mengikut lunas perundangan AS.

Katanya, namun akibat terdesak Khairul dengan semberono menuduh saman DoJ adalah campur tangan asing semata-mata mahu mengalih perhatian rakyat terhadap skandal antarabangsa 1MDB yang melibatkan harta negara berbilion-bilion ringgit.

“Lebih nampak terdesak, beliau terus menuduh Pakatan Harapan menyokong campur tangan asing apabila melihatkan kesungguhan Pakatan Harapan untuk menerangkan isu sebenar 1MDB kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Farhan juga berkata, tindakan saman DoJ adalah menurut undang-undang Amerika Syarikat untuk memastikan sistem kewangan mereka tidak dijadikan sebagai tempat selamat untuk sebarang aktiviti korupsi dan penggubahan wang haram.

Malah katanya, Malaysia juga mempunyai kuasa yang sama untuk menyiasat syariikat milik negara luar yang melakukan transaksi penggubahan wang haram dan korupsi dalam negara kita.

“Tidak timbul soal campur tangan asing, jika beliau benar-benar membaca keseluruhan saman ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.