Moratorium bauksit halalkan perlombongan haram, dakwa Fuziah

Moratorium bauksit halalkan perlombongan haram, dakwa Fuziah

Ahli Parlimen Kuantan menggesa pihak berkuasa turut membekukan permit eksport bauksit, sehinggalah perlombongan haram dibendung.

Fuziah-Salleh-bauksit
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mendakwa moratorium ke atas perlombongan bauksit di sana hanya “menghalalkan” perlombongan haram berterusan.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi baru-baru ini berhubung jumlah stok bauksit yang meningkat membuktikan perkara itu.

Dalam kenyataan mengumumkan lanjutan moratorium sehingga 31 Disember ini semalam, Junaidi berkata jumlah stok bauksit di Pelabuhan Kuantan untuk dieksport sehingga 8 Jun lalu ialah 5.8 juta tan metrik, meningkat berbanding Noember 2105 iaitu pada 5.4 juta tan metrik.

“Berlaku peningkatan stok walaupun moratorium diumumkan, bermaksud ada kegiatan mengorek bauksit secara haram.

“Penyambungan moratorium atas alasan membersihkan stok memudahkan lagi kegiatan ini dan membiarkannya berleluasa. Saya khuatir kualiti air sungai dan udara akan kembali tercemar,” kata Fuziah dalam kenyataan.

Justeru beliau menggesa permit mengeksport bauksit turut dibekukan sehingga pihak yang terlibat dalam kegiatan perlombongan haram dapat dikenalpasti dan kegiatan itu dibendung.

“Kemudian barulah dibersihkan stok bauksit…Jika permit eksport tidak dibekukan, masalah ini akan berterusan.

“Malah ia seakan-akan merelakan kegiatan perlombongan haram berterusan di Kuantan,” katanya yang lantang mengkritik kegiatan itu sebelum ini.

Memetik Bernama 26 Jun lalu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob tidak menyangkal kemungkinan berlakunya perlombongan haram dan pihak berkuasa akan memeriksanya.

Moratorium terhadap perlombongan bauksit di Kuantan bermula 15 Januari 2016 berikutan pencemaran teruk akibat kegiatan perlombongan dan pengangkutan bauksit.

Moratorium bauksit dilanjut hingga 31 Disember

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.