Malaysia henti import buruh Korea Utara

Malaysia henti import buruh Korea Utara

Ia susulan hubungan tegang kedua-dua negara selepas kematian Kim Jong Nam dan gesaan Amerika Syarikat supaya tidak mengambil pekerja dari Korea Utara.

malaysia_korea_people
KUALA LUMPUR: Malaysia berhenti mengeluarkan permit kerja kepada buruh Korea Utara, kata sumber kerajaan Malaysia yang dipetik agensi berita Jepun, Kyodo.

Ini susulan ketegangan antara kedua-dua negara selepas kematian Kim Jong Nam, abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, di Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Laporan itu menyatakan Malaysia dan Korea Utara pernah mempunyai hubungan baik.

Bagaimanapun, selepas pembunuhan Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu, hubungan kedua-dua negara menjadi renggang.

Beberapa warga Korea Utara terbabit dalam pembunuhan itu dan kedua-dua negara mengusir duta masing-masing serta menyekat warganegara lawan meninggalkan negara mereka.

Terdapat kira-kira 1,000 warga Korea Utara yang bekerja di Malaysia, kebanyakannya dalam sektor perlombongan arang batu dan pembinaan di Sarawak. Mereka dikatakan sudah pulang ke tanah air.

Kyodo melaporkan sebuah restoran Korea di Kuala Lumpur turut ditutup dan pekerja pulang ke negara itu pada Mei lalu, apabila permit kerja mereka tidak diperbaharui.

Menurut laporan itu, sekatan ekonomi unilateral yang dilaksanakan Malaysia sejajar permintaan Amerika Syarikat untuk memotong sumber dana yang boleh digunakan Korea Utara untuk program pembangunan nuklear dan peluru berpandu balistik.

Katanya, Korea Utara menghantar puluhan ribu pekerjanya ke China, Rusia, Asia Tenggara dan negara lain untuk mendapat mata wang asing yang diperlukan bagi membiayai program senjata.

Laporan itu berkata, jika negara lain mengikut jejak Malaysia, ia boleh memberi tamparan serius kepada Pyongyang.

Selasa lalu, Kyodo memetik Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson berkata, anggaran 50,000 hingga 80,000 warga Korea Utara dihantar ke negara lain, terutamanya ke Rusia dan Chian sebagai “buruh paksa”.

Tillerson berkata: “Negara bertanggungjawab tidak boleh membiarkan ini berterusan dan kita terus menggesa mana-mana negara yang mengambil pekerja Korea Utara sebagai buruh paksa untuk menghantar mereka pulang.”

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.