
Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, keputusan bedah siasat ke-2 itu sudah diserahkan, tetapi mereka hanya boleh mengumumkannya selepas mendapat persetujuan polis.
“Mungkin saya akan minta Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengeluarkan kenyataan media minggu depan.
“Kami hanya akan mengeluarkan kenyataan selepas berbincang dengan polis dan mendapat persetujuan mereka,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Perubatan Malaysia (MMC) hari ini.
Ditanya jika keputusan itu menunjukkan sebarang kesan penderaaan, katanya, bedah siasat pertama sudah menunjukkan bukti penderaan.
Pada 19 Mei lalu, Bernama memetik Dr Subramaniam sebagai berkata, keputusan bedah siasat ke-2 dijangka diketahui 2 minggu lalu.
Bedah siasat pertama yang dijalankan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, di mana Thaqif dirawat sebelum meninggal dunia, gagal mendedahkan punca kematiannya.
Thaqif dimasukkan ke HSI kerana kesihatannya merosot dan cedera di bahagian kaki, selepas dibawa keluar dari sekolah tahfiznya di Kota Tinggi, pada 31 Mac lalu, dipercayai akibat dipukul pembantu warden asramanya menggunakan paip getah.
Kecederaan itu menyebabkan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong sehingga paras paha akibat jangkitan kuman dan darah beku.
Doktor turut memutuskan memotong tangan kanannya yang turut dijangkiti kuman, namun ditangguhkan kerana jantungnya tidak stabil, sebelum kanak-kanak malang itu meninggal dunia pada petang 26 April lalu.
Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pembantu warden di sekolah tahfiz terbabit untuk membantu siasatan, bagaimanapun dia dibebaskan pada 3 Mei lalu dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM20,000, selepas polis mengesahkan kekurangan bukti untuk mendakwanya.
Keluarga Thaqif desak KKM dedah hasil laporan bedah siasat ke-2