Pihak berkuasa Singapura kata penalti berkaitan 1MDB ‘cukup keras’

Pihak berkuasa Singapura kata penalti berkaitan 1MDB ‘cukup keras’

Penguasa Kewangan Singapura berkata tiada perkara baru dalam saman terbaru DoJ tetapi akan membuka semula fail dan menyiasat perkara itu jika ada penemuan baru.

Ravi-Menon-1mdb
SINGAPORE: Penalti yang dikenakan Singapura dalam siasatan ke atas aliran dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikatakan cukup keras sebagai isyarat “pencegahan”, kata ketua badan penguasa negara itu.

Denda yang dikenakan selaras dengan undang-undang dalam negara, kata Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) Ravi Menon kepada pemberita pada taklimat hari ini, ketika ditanya sama ada penalti yang dikenakan itu terlalu ringan.

Berikutan kajian 2 tahun ke atas 1MDB, Singapura mengenakan penalti S$29.1 juta (RM90 juta) ke atas 8 bank, termasuk bank terbesar di negara itu, DBS Group Holdings Ltd.

MAS juga mengarahkan 4 bekas kakitangan bank diharamkan dari aktiviti kewangan, dan memaklumkan niat mengenakan tindakan yang sama terhadap 3 individu lain.

Tindakan “menamakan dan mengaibkan” institusi kewangan dan jurubank dalam kenyataan media MAS mempunyai “kesan yang kuat” kerana ia mempertanggungjawabkan mereka yang bertanggungjawab, kata Menon. Denda berat mencecah berbilion dolar menjejaskan pemegang saham sesebuah bank bukannya pengurusan kanan, katanya.

“Pada pandangan saya, antara kelemahan rejim semasa seluruh dunia – orang boleh terus melakukan perkara yang salah kerana mereka tidak dipertanggungjawabkan secara peribadi,” kata Menon.

Tahun lalu, ketua badan penguasa itu berikrar mengambil tindakan lebih tegas bagi menangani reputasi Singapura yang terjejas disebabkan kesilapan bank di negara itu yang berkaitan dengan 1MDB. Dana pelaburan milik kerajaan Malaysia secara konsisten menafikan sebarang salahlaku.

MAS mendapati tiada “perkara baru” yang memerlukan tindakan diambil dalam saman terbaru yang difaikan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat berkenaan 1MDB pada 15 Jun lalu. DoJ mahu menyita aset bernilai AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) yang dikatakan dibeli dengan dana yang digelapkan dari 1MDB.

“Tetapi jika ada maklumat berkaitan atau petunjuk daripada siasatan yang berjalan di Singapura atau di tempat lain, MAS akan membuka semuka fail dan menyiasat perkara itu,” kata Menon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.