Peralatan radar dikawal rapi sepanjang pemunggahan, kata Lembaga Pelabuhan Johor

Peralatan radar dikawal rapi sepanjang pemunggahan, kata Lembaga Pelabuhan Johor

Pelabuhan Tanjung Pelepas bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan lain mengawal rapi kontena yang mengandungi peralatan canggih itu.

Muhammad-Razif-ptp
PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) bersama pelbagai agensi kerajaan lain memastikan peralatan radar tentera berteknologi tinggi dikawal rapi sepanjang masa pemunggahan, kata Lembaga Pelabuhan Johor.

Pengurus Besar LPJ Muhammad Razif Ahmad mengesahkan kontena yang mengandungi perlatan canggih itu dimuatkan ke kapal Emma Maersk pada 3 Jun 2017, dan selamat sampai ke destinasi yang dituju, iaitu Pelabuhan Rotterdam, Belanda.

“Kontena tersebut sentiasa di dalam kawalan rapi pihak PTP dan agensi-agensi kerajaan yang lain,” kata Rafiz dalam kenyataan hari ini.

“Sepanjang masa kontena tersebut berada dalam pemunggahan di PTP, pihak PTP bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain dan khususnya pihak kastam.”

Kenyataan ini menyusuli penjelasan kastam hari ini yang menjelaskan kontena yang didakwa hilang sebenarnya sudah sampai ke destinasi.

Ketua Pengarah Datuk Subromaniam Tholasy membuat penjelasan itu selepas polis mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan peralatan radar itu.

The Star melaporkan kehilangan barangan itu dikesan ketika pemeriksaan audit baru-baru ini.

Menurut The Star, peralatan itu tiba dalam sebuah kontena dari Australia bulan lalu dan menuju ke Belanda melalui Johor.

Ia ditahan kastam disebabkan ketiadaan permit khas dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010.

Akta tersebut mengawal eskport, memindahkan, membawa dalam transit dan pembrokeran barangan strategik serta teknologinya, termasuk senjata dan bahan berkaitan, dan aktiviti yang akan atau boleh menyumbang kepada reka bentuk, pembangunan, penghasilan senjata pemusnah besar-besaran dan sistem penghantarannya.

Penggubalan akta itu sebahagian daripada obligasi Malaysia sebagai anggota PBB untuk mengawal eksport barangan strategik, yang boleh digunakan untuk aktiviti percambahan senjata pemusnah besar-besaran.

LPJ menambah mereka pada yang sama sedang mempertingkatkan pematuhan tatacara operasi standard dalaman berhubung pemakaian Akta Perdagangan Strategik 2010.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.