Najib kawal kemelut FGV kerana PRU14

Najib kawal kemelut FGV kerana PRU14

Najib dilaporkan bimbang FGV menjadi skandal politik kerana kira-kira 1/4 daripada kawasan pilihan raya terletak berhampiran penempatan Felda.

fgv-eagle-high
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan baru-baru ini merangka langkah membantu Felda Global Ventures (FGV) yang dilanda masalah dilakukan kerana faktor Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), menurut satu laporan.

Kerajaan tidak mahu masalah di FGV menjadi tidak terkawal, lebih-lebih lagi PRU14 semakin hampir, menurut Nikkei Asian Review (NAR).

“Campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga dilihat sebagai usaha mengawal ketidakpuasan dalam kalangan peneroka yang menyaksikan pendapatan menyusut disebabkan harga minyak sawit yang lemah.

“Mereka yang memiliki saham dalam FGV juga terjejas kerana kejatuhan harga saham.”

Saham FGV jatuh sebanyak 2/3 sejak disenaraikan pada Jun 2012.

NAR memetik James Chin, seorang profesor di Universiti Tasmania di Australia, sebagai berkata Najib bimbang FGV menjadi skandal politik sebelum pilihan raya kerana kira-kira 1/4 daripada kawasan pilihan raya terletak di dalam atau berhampiran penempatan Felda.

NAR melaporkan jangkaan tinggi apabila Datuk Zakaria Arshad dilantik sebagai presiden FGV setahun lalu, kerana keuntungan bersih pengusaha perladangan yang disokong kerajaan itu merosot daripada RM981 juta pada 2013 kepada RM117 juta pada 2015, sebahagian besarnya disebabkan harga minyak sawit mentah yang lebih rendah.

Bagaimanapun, FGV nampaknya dilanda masalah lebih besar berbanding sebelum ini, apabila wujud kemelut di peringkat tertinggi syarikat, yang menyebabkan Zakaria, dan 3 eksekutif kanan lain, diminta lembaga FGV untuk bercuti sementara menunggu siasatan ke atas dakwaan penyelewengan melibatkan anak syarikat, Delima Oil Products Sdn Bhd.

34% daripada FGV dimiliki Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), yang ditubuhkan untuk mengagihkan tanah pertanian kepada etnik orang Melayu di bawah program pembasmian kemiskinan, kata laporan NAR.

Kira-kira 112,000 peneroka Felda di seluruh negara terus mendapat faedah daripada pemberian kerajaan dalam bentuk baja bersubsidi dan pinjaman berfaedah rendah dan ini memastikan parti pemerintah terus mengawal kawasan luar bandar.

Pejabat Najib bertindak pantas terhadap kemelut lembaga FGV dengan menyingkirkan pengerusi Tan Sri Isa Samad. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan terhadap salah urus pentadbiran di FGV.

Namun, NAR menyatakan Isa segera dilantik mengetuai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pemindahan itu dilakukan walaupun siasatan terhadap Isa dan isterinya berhubung kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa masih berjalan.

Ia berkata kemelut di FGV tercetus ketika sentimen orang ramai terhadap syarikat yang disokong kerajaan itu surut, terutamanya disebabkan langkah menyelamatkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines yang merugikan pada 2014, dan salah urus 1Malaysia Development Berhad(1MDB) dan terbaru, Proton Holdings.

NAR melaporkan sokongan orang ramai kepada cara kerajaan mengendalikan ekonomi di paras 24% pada Mac, meningkat daripada 17% yang dicatatkan setahun sebelumnya, menurut tinjauan pusat banci dan kaji selidik pendapat Merdeka Centre.

Walaupun begitu, ia menunjukkan ramai rakyat Malaysia masih tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi, terutamanya dengan kenaikan harga.

S & P Global Ratings berkata pada 22 Jun cabaran politik yang berpunca daripada dakwaan rasuah terhadap 1MDB boleh menimbulkan masalah terhadap penarafan Malaysia dalam tempoh jangka masa sederhana.

Bagaimanapun, NAR berkata, para penganalisis masih meramalkan kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang kerana gabungan parti pembangkang masih berpecah.

“Bagi Najib, imejnya yang dicemari skandal 1MDB, harus menang dengan margin besar sebagai tanda mandat popular baru. Sekiranya tidak, beliau akan ditolak oleh partinya sendiri, “kata laporan NAR itu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.