Gerai makan didakwa tak patuh syariah diarah tutup

Gerai makan didakwa tak patuh syariah diarah tutup

Rayuan dan perbualan telefon yang dikatakan antara pengusaha gerai makanan serta seorang pegawai berpangkat tinggi di sebuah institusi pendidikan kerajaan di Pulau Pinang menjadi viral.

Food-stall
GEORGE TOWN: Sebuah institusi pendidikan di Pulau Pinang didakwa mengarahkan satu-satunya pengusaha gerai makanan bukan Islam di kantin kampus itu menghentikan operasi kerana tidak “patuh syariah”.

Pengusaha makanan India di institusi pendidikan kerajaan di Seberang Perai melebihi 6 bulan itu, kecewa dengan arahan berkenaan.

Rayuan yang dikatakan dikemukakan pengusaha gerai dan pelajar India di institusi itu ditolak pihak pentadbiran.

Bagaimanapun, institusi itu menafikan dakwaan berkenaan.

Gerai itu adalah satu-satunya gerai makanan India di kalangan beberapa gerai Melayu di institusi itu yang terletak di bawah Kementerian Pendidikan yang menawarkan pelbagai kursus.

Pengusaha gerai makanan itu menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pihak pentadbiran institusi terbabit melalui WhatsApp dan Facebook.

Di Facebook, status yang dimuat naik seorang pelajar kolej itu, Melissa Ann MM dikongsi hampir 1,000 kali.

Kenyataan hampir sama oleh pengusaha gerai makanan bernama “Gopy” juga menjadi viral di WhatsApp.

Ia disertakan rakaman perbualan didakwa antara seorang pegawai atasan pentadbiran institusi itu dengan pengusaha gerai makanan terbabit.

Dalam rakaman itu, seorang lelaki yang berjawatan tinggi di institusi itu berkata, rayuan pengusaha terhadap keputusan menghentikan operasinya ditolak.

“Bukankah kamu (pengusaha) kedai India itu? Rayuan itu gagal, saya tidak pasti kenapa…kami melaksanakan standard ISO patuh syariah, mungkin kedai anda menjual makanan tidak halal, betul tak?

“Itu sebabnya kami tidak boleh pertimbangkan (rayuan itu),” kata lelaki itu.

Pengusaha gerai itu kemudiannya merayu dengan berkata, beliau menghabiskan banyak wang di gerai itu dan belum melanggar sebarang syarat.

Katanya, beliau tahu dirinya “bukan Islam” dan sebab itu dagingnya dibeli dari “tempat sama pengusaha Islam lain mendapatkan daging mereka”.

Lelaki itu berkata: “Saya minta maaf tetapi saya baru di sini, namun arahannya adalah sedemikian.”

Terdahulu, Gopy ketika menyuarakan masalahnya dalam rakaman audio itu berkata, 300 pelajar mengemukakan petisyen terhadap penutupan satu-satunya gerai makanan India di kampus itu, namun ia gagal.

“(Selepas mengendalikan gerai itu)…selama 6 bulan lalu, kolej itu menamatkan kontrak saya kerana ISO undang-undang syariah, di mana orang bukan Islam tidak dibenarkan menjalankan perniagaan kerana mereka kata ia tidak halal,” menurut mesej itu.

FMT tidak dapat mengesahkan kesahihan kenyataan Gopy.

Dalam pada itu, jurucakap institusi itu menafikan kandungan status viral itu dan berkata, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Bukit Mertajam, semalam.

Katanya, beliau tidak boleh memberi sebarang komen kerana pengarahnya sedang bercuti.

Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan penuh perkara itu akan dimulakan Khamis ini sekembalinya pengarah daripada bercuti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.