Tindakan juruterbang AirAsia terpuji, kata PAS

Tindakan juruterbang AirAsia terpuji, kata PAS

Doa tidak bererti pesimis atau berputus asa, kata Datuk Dr Khairuddin Aman Razali

Khairuddin-Aman_airasia_600
KUALA LUMPUR:
PAS hari ini menyifatkan tindakan juruterbang AirAsia meminta penumpang berdoa ketika dalam kecemasan sebagai tindakan terpuji.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata berdoa juga merupakan satu usaha, bukannya pesimis atau tanda berputus asa.

“Di saat segala usaha fizikal dan teknikal telah diusahakan maka yang tinggal ialah iringan doa supaya ia dimudahkan oleh Tuhan.

“Berdoa tidak bererti menyerah untuk mati ketika berhadapan situasi sukar yang melibatkan antara hidup dan mati…Pergantungan pada Tuhan menandakan seseorang itu belum berputus asa untuk terus selamat.

“Tindakan juruterbang adalah terpuji dan motivasi serta usaha mengajak semua penumpang secara bersama memohon keselamatan daripada bencana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan PAS itu menyusuli kenyataan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim yang tidak senang dengan tindakan juruterbang AirAsia X D7237 dalam perjalanan Perth-Kuala Lumpur semalam, apabila pesawatnya mengalami masalah teknikal sehingga terpaksa berpatah balik.

“Saya lebih suka juruterbang tidak beritahu kematian sudah tiba. Juruterbang harus memberi harapan, dan menyerahkan yang lain kepada Tuhan dan penumpang.

“Jika AirAsia memang suka berdoa, lantik imam dan paderi yang betul,” katanya menerusi Twitter.

Kenyataan Zaid bagaimanapun dibantah pengguna Twitter yang lain, yang rata-rata menyokong tindakan juruterbang itu.

Khairuddin berkata setiap orang beragama tidak boleh berputus asa mengharap rahmat Tuhan di saat sukar.

“Hanya pemikiran sekular memisahkan fizikal dan kuasa Tuhan dalam menyempurnakan sesuatu usaha.

“Saya merasa lebih aman dengan juruterbang begini, katanya.

AirAsia X telah menyediakan pesawat gantian khusus bagi penerbangan itu, yang berlepas 11.40 malam semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.