AirAsia siasat punca masalah pesawat D7237

AirAsia siasat punca masalah pesawat D7237

AirAsia menegaskan mereka sering mematuhi syarat keselamatan dan program selenggara yang ditetapkan.

airasia_x_new_600
KUALA LUMPUR:
AirAsia X sudah memulakan siasatan bagi mengenalpasti punca masalah yang menyebabkan pesawat D7237 dalam perjalanan Perth-Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik semalam.

Siasatan itu dibuat bersama-sama pembuat enjinnya iaitu Rolls-Royce, kata AirAsia dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami juga memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa penerbangan tempatan.

“Kami kekal komited dalam mencapai semua syarat keselamatan di setiap negara yang kami beroperasi,” katanya.

Menurut laporan, satu letupan berlaku di enjin kiri dengan sebilah kipas turbin patah dan seorang penumpang menyifatkan pesawat “bergegar seperti mesin basuh”.

Pesawat itu kemudian terpaksa berpatah balik, dan selamat mendarat di Perth pada jam 10 pagi semalam.

Syarikat penerbangan murah itu menegaskan mereka sentiasa mematuhi program selenggara yang ditetapkan pengeluar kapal terbang mereka.

“Kami juga mematuhi semua peraturan dan keperluan yang ditetapkan di negara kami beroperasi. Di Australia, kami sering lulus audit keselamatan yang dilakukan pihak berkuasa penerbangan,” katanya.

Menurut AFP, ia merupakan insiden ke-2 bulan ini membabitkan pesawat Airbus A330 di Australia.

Terdahulu, pesawat China Eastern membuat pendaratan cemas di Sydney selepas lubang besar muncul di salah sebuah penutup enjin.

Tindakan juruterbang AirAsia terpuji, kata PAS

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.