
Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Dr Noor Saazai Mat Saad berkata idea untuk membangunkan produkdinamakan E-Prasmo: An Online Supervision Tool adalah bagi mengurangkan kos dan menjimatkan masa.
“Buat masa ini ia (perisian E-Prasmo) digunakan ke atas guru-guru yang menjalani praktikal… daripada penyelia pergi ke sekolah-sekolah di seluruh negara di mana pelatih menjalani praktikal, kita buat secara online (dalam talian).
“Tradisinya, kalau pergi, ia akan melibatkan banyak kos seperti kos perjalanan, penginapan, elaun dan pelbagai lagi… dengan melaksanakan secara online ini, semua kos dapat dikurangkan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata E-Prasmo juga menyediakan ruang untuk penyeliaan melalui forum dalam talian, yang membolehkan interaksi antara pelajar dan penyelia dilakukan.
“Setiap penyelia dan pelajar mempunyai akses kepada laman ini akan pergi ke sistem ini setiap minggu untuk lihat apa yang perlu mereka buat dan ia meliputi proses konsultasi dan masa sama mereka perlu membuat video latihan praktikal yang sedang mereka jalani dan kemudiannya dimuat naik ke YouTube dan dikongsikan link berkenaan untuk penyelia melihat dan memberi markah.
“Apabila sistem ini sudah OK, kita bercadang untuk kembangkan ke pelajar lain yang menjalani latihan industri. Projek ini sebenarnya tiada kos sebab kita menggunakan kemudahan yang disediakan di USIM,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak sistem berkenaan akan dibangunkan di semua universiti tempatan sebagai langkah penjimatan, di samping mampu menjalankan tugas penyeliaan seperti kaedah konvensional.
Noor Saazai berkata setakat ini, sejumlah 603 pelatih telah menggunakan sistem berkenaan sejak ia dibangunkan 2 tahun lepas.
E-Prasmo yang dibangunkan USIM meraih pingat emas dalam Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2017 (ITEX) di Kuala Lumpur pada 11 Mei lepas, yang disertai lebih 1,000 penyelidik daripada 22 negara antaranya China, Jerman, Hong Kong, Indonesia, Iraq dan Vietnam.