
“Needle Syringe Exchange Program” tertera di bahagian atas papan itu.
Di bawahnya, terdapat maklumat seperti jadual agihan jarum mengikut minggu.
“Duduklah dulu. Nanti Encik Zul sampai,” kata seorang kakitangan perempuan menyambut kehadiran saya. Saya tidak sempat bertanya namanya.
Ruang sederhana itu adalah pejabat bagi Persatuan Kebajikan Komuniti Ikhlas Malaysia (PKKIM), sebuah NGO membantu mereka yang terlibat dengan dadah, khasnya pengguna dadah melalui suntikan dan penghidap HIV positif.
Ruang di tingkat 1 juga dihuni PKKIM untuk aktiviti komuniti seperti program kaunseling. Namun pada kebanyakan masa, ia dijadikan ruang untuk pengguna dadah berehat dan membersihkan diri.
Tidak lama kemudian, “Encik Zul” atau Zulkiflee Zamrie, pengurus program PKKIM tiba dan mengajak masuk ke bilik agar lebih selesa dan tanpa gangguan.

“Walaupun sudah lama menjalankan program, kami tertubuh secara rasmi pada 2013. Ini adalah persatuan yang ditubuhkan atas inisiatif mereka yang sendirinya pernah ada latar belakang dadah.
“Ketika penubuhan, ada yang sudah pulih dan ada juga yang masih dalam rawatan,” kata Zulkiflee, 50. Beliau sendiri pernah terjebak penagihan dadah, dan sudah meninggalkan tabiat itu sejak 2002.
Pengagihan jarum dan methadone
Selain program rawatan dan sokongan, antara program teras PKKIM adalah “pengurangan kemudaratan” yang dibuat melalui penukaran jarum dan pengambilan methadone sebagai ganti kepada dadah lain.
Atas bantuan geran Kementerian Kesihatan, katanya, PKKIM mengagihkan sendiri jarum kepada pengguna dadah. Manakala bagi pengambilan metadhone, mereka merujuk pengguna kepada klinik kerajaan.
Dua perkara ini adalah kaedah paling lazim yang digunakan dalam proses pemulihan ketagihan dadah.
Pengagihan jarum dapat mengelakkan perkongsian jarum yang menjadi punca utama merebaknya virus HIV.
Pengambilan methadone pula dapat mengurangkan simptom yang dialami selepas pemberhentian pengambilan dadah (withdrawal symptom) tanpa kesan “khayal” seperti yang biasa dicetuskan dadah seperti heroin.

Namun bagi mereka yang tidak faham, pemberian jarum dan methadone kepada pengguna dadah oleh kerajaan dianggap sebagai “membantu” ketagihan mereka.
“Kata kuncinya adalah pengurangan kemudaratan… bukan untuk hentikan penggunaan serta-merta. Fitrah manusia tidak suka dipaksa.
“Tentulah matlamat terakhir agar berhenti sepenuhnya. Tetapi perlu langkah demi langkah. Maka kita beri jarum agar mereka tidak berkongsi, methadone untuk kurangkan bergantung kepada heroin.”
Beliau berkata, program pemberian methadone bermula bagi mengurangkan jenayah di kalangan pengguna dadah, yang antara lain mencuri untuk membeli dadah.
Hanya penagih faham penagih
Beberapa minggu sebelum wawancara, PKKIM menjadi tuan rumah sesi dialog “Inspirasiku TN50: Suara Jalanan” anjuran bersama Majlis Belia Malaysia (MBM).
Ketika sesi perkongsian itu, tidak sedikit mereka yang terjebak dengan gejala dadah merintih betapa masyarakat tidak memahami apa yang dialami mereka.
Nasharol CM Nasir merungut kerana merasakan dirinya sebagai “makhluk asing” dan “bahan tontonan” ketika tinggal buat sementara di sebuah pusat transit kerajaan.
“Kami diarah untuk mengikut program anjuran badan lain di sana… Mereka masuk ke bilik kami,” katanya yang sudah 3 bulan menyertai program PKKIM.
Dalam program itu, frasa “pengguna dadah” digunakan menggantikan “penagih dadah” yang lebih biasa, barangkali kerana konotasinya yang lebih neutral.
Zulkiflee berkata, program perkongsian atau dipanggil “sokong-bantu” yang diadakan 3 kali seminggu kebiasaannya melibatkan mereka yang sudah berjaya keluar daripada masalah dadah.
“Mereka adalah ‘kisah kejayaan’ yang kini kembali memainkan peranan dalam masyarakat. Kaedah ini memang berkesan kerana mereka memahami golongan yang senasib.
“Orang yang tiada pengalaman dengan dadah tidak dapat menyentuh jiwa mereka (pengguna dadah). Persepsinya mereka mampu berkata macam-macam kerana tidak mengalaminya sendiri,” katanya.

PKKIM turut mengadakan kelas mengaji Al-Quran dan pembelajaran agama.
Zulkiflee sendiri berjaya “pulih dan kekal pulih” daripada masalah dadah kerana sentiasa menghadiri sesi perkongsian seumpama itu sehingga kini.
“Pada 2002, saya berhenti serta-merta dan konsisten sehingga sekarang. Sebelum itu saya pernah cuba selama 3-4 kali tetapi gagal bertahan lama,” katanya yang mula menggunakan dadah pada 1982.
Beliau kemudian sedar kegagalannya adalah kerana usaha itu dijalankan sendirian, tanpa sesiapa pun yang memahaminya termasuk keluarga.
“Kesakitan fizikal selepas berhenti hanya 2-3 minggu, tetapi kesakitan jiwa bertahun lamanya. Dulu ketika sedih atau gembira, kita ada dadah, sekarang sudah kosong dan kita tidak tahu macam mana nak hidup.
“Sebab itu tidak pelik jika ada yang sudah berjaya berhenti beberapa tahun kembali ambil dadah. Kumpulan sokong-bantu ini faham apa yang saya lalui,” katanya yang bersyukur ibubapanya sempat melihatnya pulih sebelum meninggal dunia.
Mesej utama yang ingin disampaikannya kepada masyarakat adalah berikan peluang untuk mereka hidup.
“Tengoklah keadaan mereka – dipanggil sampah masyarakat, mayat hidup. Lihat bagaimana imej mereka di televisyen.
“Soal guna (dadah) atau tidak kita usahakan kemudian. Yang penting adalah hidup hari demi hari. Maka proses kehidupan akan berlaku, termasuk proses keluar daripada masalah ini,” katanya.