Kementerian Pengangkutan arah AirAsia tangani isu teknikal pesawat

Kementerian Pengangkutan arah AirAsia tangani isu teknikal pesawat

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi berkata, pengeluar Airbus bertanggungjawab memastikan setiap pesawat adalah selamat dan "mencari penyelesaian jika ada masalah".

Aziz-Kaprawi_airasiax_6003
PETALING JAYA:
Kementerian Pengangkutan mengarahkan AirAsia agar memeriksa dengan pengeluar pesawatnya berhubung punca masalah teknikal yang menimpa penerbangan D7237 dari Australia ke Malaysia awal hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi berkata pengeluar Airbus bertanggungjawab memastikan setiap pesawat selamat dan “mencari penyelesaian jika ada masalah”.

“Kecuali AirAsia tidak mematuhi prosedur ketat pesawat. Tetapi penyelenggaraan pesawat dalam industri penerbangan sangat ketat,” katanya kepada FMT.

Beliau diminta mengulas penerbangan AirAsia X ke Malaysia yang terpaksa kembali ke Perth, Australia hari ini kerana masalah teknikal, dengan seorang penumpang menyifatkan pesawat terbabit seolah-olah “bergegar seperti mesin basuh.”

Airbus A330 dari Perth ke Kuala Lumpur mengalami masalah kira-kira 90 minit ke dalam perjalanan.

Pesawat itu mendarat dengan selamat, dengan lapangan terbang Perth melaporkan ia sebagai “masalah teknikal”.

Sebuah akhbar Australia mendakwa pesawat itu kembali mendarat dengan 1 enjin. Ia juga berkata bilah kipas di salah 1 daripada 2 enjinnya terputus.

Timbalan menteri juga berkata, beliau akan bercakap dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk memeriksa rekod penyelenggaraan pesawat tersebut kerana menjadi tanggungjawab setiap syarikat penerbangan tempatan untuk memastikan kesemua pesawat diselenggara mengikut jadual.

“Saya akan bercakap dengan DCA. Kami tidak mahu sebarang masalah. Kami mahu setiap syarikat penerbangan tempatan mematuhi peraturan dan peraturan pesawat mereka,” katanya.

Sementara itu, AirAsia X Berhad dalam kenyataannya mengesahkan penerbangan D7237 ke Kuala Lumpur dari Perth, dengan 359 penumpang kembali ke lapangan terbang Perth kira-kira 10 pagi (waktu tempatan) sejurus selepas berlepas berikutan masalah teknikal. Ia berlepas pada pukul 6.50 pagi.

Pesawat terbabit dijadual untuk menyambung penerbangan pada pukul 8.30 malam ini.

Katanya, para penumpang telah diberi segala bantuan yang diperlukan ketika mendarat.

Kenyataan itu menambah, jurutera mereka mengambil langkah berjaga-jaga untuk memeriksa pesawat terbabit.

Pesawat AirAsia alami gangguan teknikal, ‘gegar seperti mesin basuh’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.