Ayob Khan yakin impian ‘khilafah’ IS di Asia Timur tak tercapai

Ayob Khan yakin impian ‘khilafah’ IS di Asia Timur tak tercapai

Pegawai polis yang giat memerangi aktiviti IS itu berkata polis memantau setiap pergerakan dan dakyah penyokong kumpulan itu.

ayob-isis-asia
KUALA LUMPUR:
Polis anti-keganasan Malaysia berkata impian penyokong kumpulan militan IS untuk menubuhkan sebuah “khilafah” di rantau Asia Timur bukan semudah seperti yang difikirkan.

Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorisme Cawangan Khas, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis bertindak proaktif dalam mengambil tindakan di peringkat awal.

Bahkan, sebarang aktiviti berkaitan IS, sama ada propaganda, sebaran ideologi, mempromosi, membiayai, merekrut dan merancang serangan serta melindungi maklumat akan diambil tindakan, katanya.

“Memang susah. Mereka hendak wujudkan wilayah ini macam mana, baru hantar Whatsapp di ‘group’ dan ada bahan bacaan berkaitan keganasan, kita akan tangkap dan dakwa di mahkamah,” katanya kepada FMT hari ini.

Semalam, The Straits Times (ST) dari Singapura melaporkan Malaysia, Singapura dan 5 negara lain kini disebut-sebut oleh penyokongnya di media sosial sebagai sebahagian jajah takluknya bernama “Wilayah Asia Timur”.

Negara lain dalam “wilayah” itu ialah Indonesia, Filipina, Thailand, Myanmar dan Jepun.

Ayob berkata, maklumat sama turut didedahkan melalui soal siasat yang dijalankan melalui tangkapan warga Indonesia di Perak pada 13 Jun lalu.

Hasil siasatan pihaknya mendapati isu “Wilayah Asia Timur” memang dibincangkan melalui aplikasi Whatsapp dan Telegram.

“Ada kenalan di dalam group itu merupakan penyokong di Indonesia, Filipina, Turki dan Malaysia.

“Nampak matlamat mereka besar, memang rancangan mereka untuk wujudkan satu ‘wilayah’ baru di rantau ini. Ini banyak dibincangkan group Whatsapp dan Telegram mereka,” katanya.

Hasrat yang sama pernah dinyatakan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang mengimpikan Daulah Islamiyah Nusantara, merentasi beberapa negara termasuk Malaysia dan Indonesia.

Bagaimanapun, Ayub berkata pelan JI tidak merangkumi Jepun.

“Tetapi kali ini merangkumi Asia Timur, ia ada pertambahan sedikit dan apa yang hendak diperjuangkan mereka,” katanya.

Sebelum ini, 4 lelaki termasuk 3 warga Indonesia ditahan kerana dipercayai terbabit kegiatan IS dalam tangkapan di Slim River, Perak dan Sandakan, Sabah.

Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki Indonesia dalam operasi di Slim River, Ahad lalu, yang dipercayai merancang ingin menyerang warga polis.

Malaysia sehingga kini menangkap lebih 120 suspek dan penyokong kumpulan IS, separuh daripada mereka sudah didakwa dan disabitkan kesalahan di bawah akta mencegah keganasan.

Penyokong IS namakan Malaysia, Singapura sebagai jajah takluk akan datang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.